|
Beberapa penduduk melihat kesan hakisan pantai yang semakin memburuk di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, Kuala Nerus semalam.
KUALA NERUS – Tidur penduduk Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit di sini tidak lagi lena kerana bimbang kawasan kediaman yang diduduki sejak sekian lama itu bakal lenyap akibat hakisan pantai yang telah meranapkan banyak rumah dan bangsal.
Dalam kejadian terbaharu minggu lalu, beberapa bangsal kayu yang digunakan nelayan tempatan untuk menjemur ikan kering ranap dipukul ombak besar setinggi dua meter.
Seorang penduduk, Jantan Abdullah, 64, berkata, masalah hakisan pantai telah membelenggu penduduk setiap kali ketibaan Monsun Timur Laut sejak hampir 10 tahun lalu.
Dia berkata, hakisan pantai tersebut berlaku sejauh kira-kira dua kilometer dari Pantai Pengkalan Maras sehingga Pantai Batu Rakit di sini.
“Sudah banyak rumah penduduk, inap desa dan premis perniagaan kami terjejas ekoran hakisan pantai pada musim tengkujuh.
“Sewaktu saya membuka kedai makan pada tahun 1985, jaraknya dari gigi pantai lebih 50 meter kini tinggal kurang lima meter sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Pengkalan Maras di sini semalam.
Jantan berkata, tidak mustahil kedai makannya juga akan dibadai ombak jika dibiarkan berterusan.
Tambahnya, ia membuatkan dia gelisah tidak tidur malam kerana risaukan hakisan pantai itu akan melarat sehingga ke kedai makannya.
Bagi Azwari Zulkifli, 38, dia risau hakisan pantai tersebut menjejaskan surau berhampiran.
“Surau yang memuatkan 50 jemaah baru sahaja dibina hasil infaq jemaah dua tahun lalu.
“Kami risau surau ini juga bakal lenyap sekiranya tiada usaha untuk mengurangkan impak hakisan pantai,” katanya.
Akbar Abd. Rashid, 50, pula berkata, kebimbangan penduduk itu berasas kerana MTL tahun ini masih panjang lagi dan berlarutan sehingga bulan Mac tahun depan.
“Setakat ini hanya bongkah batu diletakkan sebagai penghalang ombak, namun ia sekadar penyelesaian jangka pendek dan tidak mampu menangkis badai ganas yang menghempas pantai hampir setiap hari,” katanya.https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... ujuh-telan-kampung/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|