|
Anggota APM Gua Musang menangkap ular sawa batik yang berada di kawasan semak berhampiran rumah penduduk di Felda Chiku 1, Gua Musang hari ini. -IHSAN APM
GUA MUSANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang menangkap seekor ular sawa batik seberat 75 kilogram (kg) yang berada dalam semak berhampiran sebuah rumah di Felda Chiku 1, di sini hari ini.
Pegawai APM daerah Gua Musang, Mohd. Hanafi Mohd. Bokri berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang penduduk kira-kira pukul 10.23 pagi tadi.
Katanya, seramai enam orang anggota APM bergegas ke rumah pengadu yang terletak lebih 30 kilometer (km) dari Bandar Gua Musang.
“Setibanya di lokasi, anggota APM mendapati seekor ular sawa batik sepanjang lima meter berada di dalam semak berhampiran rumah pengadu.
“Anggota yang terlibat mengambil masa lebih 30 minit untuk menangkap ular sawa berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Anggota APM Gua Musang menunjukkan ular sawa batik seberat 75 kg yang ditangkap berhampiran rumah penduduk di Felda Chiku 1, Gua Musang hari ini. – IHSAN APM
Mohd. Hanafi memberitahu, ular sawa batik itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Katanya, ular sawa berkenaan merupakan reptilia paling berat yang berjaya ditangkap pihaknya pada tahun ini.
“Justeru, orang ramai yang tinggal di kawasan berhampiran hutan atau semak dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutamanya ketika cuaca hujan.
“Haiwan berbisa kebiasaannya akan keluar dan berada di kawasan rumah penduduk sehingga boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak diingini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... epi-rumah-penduduk/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|