KUNJUNGAN: Sultan Ibrahim (tengah) berkenan menerima kunjungan hormat Ewon (tiga kanan) bersama rombongan.
JOHOR BAHRU: Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bersama pengurusan tertinggi Bank Rakyat di Istana Pasir Pelangi.
Kunjungan hormat itu adalah dalam siri lawatan kerja Ewon selama sehari ke negeri Johor yang berlangsung, semalam.
Ewon kemudian meninjau perkembangan dan mendengar taklimat berkenaan pembinaan Menara Bank Rakyat di Coronation Square setinggi 35 tingkat yang dijangka siap hujung tahun ini.
Coronation Square itu dianggarkan seluas 2.3 hektar antara Zon Pembangunan Projek Ibrahim International Business District (IIBD).
Terdahulu itu Ewon dan rombongan turut diberi taklimat mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
RTS Link merupakan perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer antara Singapura di stesen Woodlands North dan Malaysia di stesen Bukit Chagar.
Turut hadir Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat Dr Mohammad Hanis Osman dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany.
|