|
GAMBAR HIASAN
Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif dalam mengawal populasi anjing di negeri ini dengan mewajibkan pemohon lesen pemeliharaan anjing memandulkan haiwan terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, selain itu, semua anjing liar yang ditangkap oleh kontraktor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu dimandulkan.
Katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk memastikan tindakan berkenaan membawa hasil dalam menyelesaikan masalah anjing liar.
"Memang banyak aduan diterima berkaitan anjing liar dan sebab itu tindakan proaktif diambil dengan mewajibkan semua pemohon lesen pemeliharaan anjing perlu memandulkan haiwan yang dibela," katanya.
Beliau berkata pada sesi pertanyaan lisan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Arul Kumar menjawab soalan tambahan Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) yang ingin tahu langkah jangka panjang kerajaan negeri dalam menangani isu anjing liar berikutan masalah terbabit sering berulang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai berkata, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut bekerjasama dengan melancarkan Program Insentif Pemandulan Anjing bermula September lalu sehingga akhir bulan ini.
"Menerusi program itu, setiap pemilik anjing berlesen di MBS akan menerima insentif RM100 per ekor (maksimum dua ekor) bagi anjing yang dimandulkan dalam tempoh kempen berkenaan," katanya.
Menurutnya, sejak Januari hingga awal bulan ini, sebanyak 2,177 anjing liar ditangkap di kawasan Seremban dan Nilai.
"Selain itu, sebanyak 131 ekor lagi anjing liar ditangkap di kawasan Taman Tuanku Ja'afar, Taman Sena Parc, Senawang Perdana, Taman Pinggiran Senawang dan Taman Satria," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-anjing-peliharaan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|