Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (tengah) beramah mesra dengan artis kebudayaan yang mengadakan persembahan pada Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Daerah Muar, Segamat dan Tangkak sempena hari heputeraan baginda di Dataran Tanjung Emas, Muar, hari ini. - BERNAMA
MUAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Daerah Muar, Segamat dan Tangkak di Dataran Tanjung Emas, di sini.
Majlis yang diadakan sempena ulang tahun hari heputeraan baginda itu dihadiri kira-kira 3,000 rakyat.
Sultan Ibrahim yang diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah tiba di majlis itu pada jam 3 petang.
Turut berangkat menghadiri majlis berkenaan ialah Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, barisan EXCO kerajaan negeri serta pegawai kerajaan.
Pada majlis yang diserikan dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum itu, Sultan Ibrahim turut dipersembahkan sembilan kek sempena hari keputeraan baginda yang kemudian diagihkan kepada rakyat yang hadir.
Jamuan Teh Bersama Rakyat juga dijadual diadakan di Mersing pada 8 Disember, Pontian (11 Disember) dan Kluang (14 Disember). - BERNAMA
|