|
ZAIDAH bersama suaminya Jaafar yang kini ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial ketika tinjauan di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rantau Panjang: "Dalam rumah ibarat 'padang jarak padang tekukur' sejak setahun lalu selepas kesemua barangan dalam rumah musnah akibat banjir, kini kami hanya fikirkan nyawa sahaja." Demikian luahan mangsa banjir, Zaidah Yusuff, 63, dari Kampung Kubang Kual yang berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, di sini, sejak Jumaat lalu.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, saban tahun, mereka sekeluarga berdepan dengan banjir sejak tinggal di kampung berkenaan 30 tahun lalu.
"Letih memikirkan keadaan yang berlaku ada kalanya sehingga tiga kali setahun terpaksa berpindah. Banjir kali ini pun paras air mencecah sehingga 0.5 meter di dalam rumah.
"Jika tanya apa kerugian kami alami, kami bukan lagi mengalami kerugian kerana rumah kosong, tiada perabot sejak setahun lalu selepas dilanda banjir teruk Disember tahun lalu yang memusnahkan kesemua barangan rumah.
"Kami sudah serik, letih, tidak mampu untuk membeli barangan baharu kerana tahu ia akan rugi kerana semua barang akan musnah setiap kali banjir," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Jelasnya, setiap kali berdepan banjir, dia akan mengalami demam yang teruk kerana keletihan terlampau untuk mengemas dan mencuci rumah.
"Itulah situasi yang saya alami sejak 30 tahun yang lalu dan berharap masalah banjir ini sekurang-kurangnya dapat dikurangkan walaupun tidak dapat diselesaikan sepenuhnya," katanya.
Mangsa banjir, Sabariah Abdullah, 60, turut memaklumkan barangan rumahnya juga kosong sejak setahun lalu akibat banjir.
"Saban tahun berdepan kerugian menyebabkan saya dan ibu, Selamah Isa, 94, tidak membeli sebarang barangan rumah dan ruang tamu hanya kosong.
"Saya kini sudah reda dan ketika air naik beberapa hari lalu, saya bersama adik terus mendukung ibu, Selamoh Isa, 94, yang tidak boleh berjalan dan membawanya ke PPS," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... eli-barangan-baharu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|