|
Kesan tapak kaki harimau yang dijumpai penduduk berhampiran SK Bihai, Pos Bihai, Gua Musang pada Jumaat lalu.
GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli di Pos Bihai di sini mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa senjata seperti parang, sumpit dan lembing bagi melindungi nyawa mereka daripada serangan harimau ketika berada di kawasan kebun.
Tindakan itu dibuat ekoran kebimbangan mereka mengenai ancaman harimau belang yang didakwa masih bebas berkeliaran di kawasan perkampungan.
Seorang penduduk Kampung Tendrik, Apek Assut, 39, berkata, tapak kaki harimau turut ditemui di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai pada Jumaat lalu.
Katanya, susulan itu, kebanyakan penduduk tidak berani untuk melakukan aktiviti termasuk mencari hasil hutan dan sumber makanan.
“Ada penduduk terpaksa keluar ke kebun mencari sumber makanan untuk keluarga, namun dalam keadaan berjaga-jaga dengan membawa parang, sumpit atau lembing.
“Setiap kali kami keluar dari rumah, kami berasa takut kerana merasakan seperti pak belang sedang memerhatikan kami dan menunggu masa untuk menyerang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Apek memberitahu, meskipun seekor harimau berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada awal Oktober lalu di Kampung Hak, namun mereka percaya masih ada baki haiwan liar itu yang berkeliaran di beberapa kampung di Pos Bihai
Katanya, penduduk masih menjumpai kesan tapak kaki dan bunyi salakan anjing pada waktu malam juga menjadi petanda harimau belang berada di kawasan perkampungan mereka.
Seorang lagi penduduk, Junaley Anik, 34, pula berkata, dia juga membawa senjata seperti parang sebagai persediaan jika ingin ke kebun.
Katanya, dia tidak berani keluar seorang diri dan berpakat dengan beberapa rakan untuk masuk ke kebun.
“Kami hanya pergi ke kebun selama satu hingga dua jam pada waktu pagi untuk menggali ubi kayu atau mengambil sayur-sayuran sebelum bergegas pulang ke rumah,” katanya.
Kosmo! pada 1 Disember lalu melaporkan seorang penoreh getah di daerah ini menjadi mangsa ketiga yang maut akibat dibaham harimau belang dalam tempoh tiga minggu.
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... n-takut-pak-belang/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|