Pengarang Berita Harian Metro, Jamilul Anbia Md Denin menerima Trofi Anugerah Khas Media Maritim Malaysia 2023 yang disampaikan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Laksamana Muda Datuk Mohd Rosli Abdullah. Foto Ahmad Hasbi.
Mantin: Harian Metro menerima Trofi Anugerah Khas Media Maritim Malaysia 2023 pada Hari Bersama Media anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lapang Sasar Mantin, di sini, hari ini.
Berdasarkan data yang diperolehi, Harian Metro menjadi media unggul dengan menyiarkan sebanyak 410 berita mengenai agensi berkenaan sepanjang Januari hingga Oktober lalu.
Anugerah khas berkenaan khusus diberikan kepada agensi media yang menyiarkan berita terbanyak berkaitan APMM sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini.
Trofi disampaikan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Laksamana Muda Datuk Mohd Rosli Abdullah kepada Pengarang Berita Harian Metro, Mohd Jamilul Anbia Md Denin yang mewakili akhbar itu.
Sementara itu, Mohd Rosli berkata, media berperanan penting dalam menyebarluaskan maklumat mengenai pencapaian APMM serta isu semasa yang berkaitan dengan keselamatan di zon maritim Malaysia.
"Media adalah jambatan penting yang menghubungkan APMM dengan masyarakat tempatan dan di peringkat antarabangsa.
"Melalui media, APMM dapat berkongsi cerita mengenai kejayaan, cabaran dan dihadapi serta usaha dalam memastikan zon maritim Malaysia sentiasa terjaga," katanya.
Program sehari itu dirasmikan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Hamid Mohd Amin.
|