|
ALIF melihat tangannya yang tercedera ketika ditemui di rumahnya di Kampung Meranto, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Gua Musang: Serangan seekor beruk jantan terhadap seorang kanak-kanak berusia empat tahun menimbulkan kebimbangan penduduk Kampung Meranto, di sini, dengan ancaman haiwan liar itu.
Dalam kejadian pada 20 November lalu, mangsa Mohamad Alif Zahiruddin dikatakan diserangkan haiwan terbabit ketika sedang bermain basikal seorang diri kira-kira 20 meter dari rumahnya.
Bapa mangsa, Mohamad Zainuddin Yusuf, 30, berkata kejadian menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu disedari isterinya Samsuri Ramli, 28, yang berada di rumahnya apabila terdengar tangisannya kira-kira 12 tengah hari.
Menurutnya, ketika itu Mohamad Alif sedang bermain basikal seorang diri di luar pada jarak 20 meter dari rumahnya.
"Apabila mendengar tangisan anak, isteri terus berlari mendapatkannya dan melihat Mohamad Alif sudah berlumuran darah dan haiwan liar itu sudah tiada.
"Mohamad Alif mengalami cedera di lengan kiri dan belakang badan lalu dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk rawatan susulan.
"Mohamad Alif dirawat untuk tempoh sembilan hari di kedua-dua hospital berkenaan dan akan menerima rawatan susulan pada Selasa ini," katanya ketika ditemui di Kampung Meranto, di sini, hari ini.
Katanya, kemunculan beruk jantan yang berkeliaran di kawasan kampung sudah lama disedari, namun sebelum ini ia tidak pernah mengganggu penduduk.
"Bila berlaku kejadian seperti ini berlaku, kami jadi takut dan risau perkara yang sama akan berlaku terhadap kanak-kanak lain.
"Laporan sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan saya difahamkan mereka ada datang.
"Justeru, saya harap perkara yang sama tidak berlaku terhadap kanak-kanak lain kerana ia boleh membahayakan nyawa," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... serang-beruk-jantan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|