KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap waspada hingga Ahad ini di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan serta Pahang.
METMalaysia dalam hantaran menerusi Facebook rasmi memaklumkan, keadaan cuaca itu dijangka melanda Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Putih di Kelantan, manakala di Pahang pula Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan serta Rompin.
"Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan," katanya.
Menurutnya, amaran hujan berterusan tahap bahaya pula dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah melebihi 150 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam.
"Amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah melebihi 60mm dalam tempoh enam jam," katanya.
Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web:
www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini serta sahih.