|
NORHASLINA (dua kiri) dipenjara lapan tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: Seorang wanita dipenjara lapan tahun di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, selepas mengaku bersalah mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan yang juga anak rakannya.
Tertuduh, Norhaslina Hassim, 42, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Bagaimanapun, adiknya, Nur Intan Baiduri, 32, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menganiaya mangsa, Nur Malaika Umaira Lee Abdul Qayyum hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Jintan Gemilang, Pangkal Changgong, Machang, antara 27 Oktober sehingga 19 November lalu.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima panggilan dari Hospital Machang memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan tidak sedarkan diri jam 1.45 tengah hari pada 19 November lalu.
Susulan itu, polis menahan dua wanita dan merampas dua telefon bimbit, sebatang rotan panjang serta satu penyangkut baju di sebuah rumah.
Siasatan dijalankan mendapati tertuduh menganiaya serta mengabaikan mangsa.
Mereka memukul mangsa dengan menggunakan tangan, penyangkut baju dan rotan panjang sehingga menyebabkan badan serta kepala kanak-kanak itu cedera.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun kepada tertuduh pertama yang bermula dari tarikh tangkap pada 19 November lalu, manakala tertuduh kedua tidak dibenarkan jamin.
Hakim menetapkan 28 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... bersalah-dera-budak |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|