CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6812|Reply: 1

[Negeri Sembilan] Istiadat lebih seabad 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'

[Copy link]
Post time 19-11-2023 07:12 AM | Show all posts |Read mode
Edited by tari at 19-11-2023 07:18 AM


Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, berkenan menyaksikan persembahan kebudayaan tradisional di Panca Persada ketika upacara Istiadat Bersiram sempena Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli di Istana Besar Seri Menanti, hari ini. - FOTO BERNAMA


KUALA PILAH: Meskipun sudah 125 tahun sejak pertama kali dimulakan, Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli masih diteruskan, ibarat pepatah 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

Istiadat di Istana Besar Seri Menanti yang diadakan tiga tahun sekali itu dengan kali terakhir pada 2019, adalah acara bersejarah bertujuan mengulangi ikrar taat setia tidak berbelah bahagi Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung, kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Penghulu Luak itu terdiri daripada Penghulu Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir dan Luak Ineh.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyempurnakan Istiadat Bersiram di Panca Persada sempena Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli di Istana Besar Seri Menanti, hari ini. - Foto BERNAMA
Penyelia Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin, berkata istiadat yang diadakan sejak semalam itu dimulakan dengan Istiadat Menurunkan dan Memasang Alat Kebesaran, diteruskan dengan Istiadat Bersiram hari ini serta upacara kemuncak iaitu Istiadat Mengadap esok.

Beliau berkata, dalam Istiadat Bersiram hari ini, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, berangkat dari istana ke Panca Persada menaiki Takhta Rencana yang dihela (ditarik) Pegawai 99 Istana.

"Istiadat Bersiram ini istimewa kerana hanya tiga kali berlaku iaitu semasa tuanku ditabal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Istiadat Penghulu Mengadap (kedua) dan ketiga, ketika anak putera Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berkahwin," katanya kepada pemberita selepas istiadat itu di sini, hari ini.


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-11-2023 07:15 AM | Show all posts
Edited by tari at 19-11-2023 07:19 AM



Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud menaiki 'Takhta Rencana' yang dihela oleh Pegawai 99 Istana ketika berarak menuju ke Panca Persada untuk menyempurnakan upacara Istiadat Bersiram sempena Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli di Istana Besar Seri Menanti, hari ini. - Foto BERNAMA


Perarakan dimulakan dengan lapan das tembakan meriam sehingga tuanku berdua naik ke Panca Persada dengan Istiadat Bersiram bermula di situ, manakala lapan das tembakan lagi dilepaskan apabila upacara itu selesai.

Upacara kemudian dimulakan dengan Datuk Raja Penghulu membawa Cepu Bedak Limau dan menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di hadapan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani sebelum Orang Empat Istana mengelilingi pasangan diraja berkenaan sebanyak tujuh kali.

Setiap pusingan, setiap Orang Empat Istana akan menjunjung duli menandakan cukup satu pusingan dan setiap pusingan itu adalah simbolik bagi memohon Allah melindungi tuanku daripada musibah bencana tujuh petala alam.

Selesai pusingan, Cepu Bedak Limau dipersembahkan kepada tuanku berdua dimulai Datuk Seri Amar Diraja, Datuk Raja Diwangsa, Datuk Penghulu Dagang dan Datuk Akhir Zaman secara bergilir-gilir dan baginda berdua mencelup tangan setiap kali dipersembahkan.

Upacara mencelup kedua-dua tangan adalah simbolik bagi membersihkan diri dan dari segi jasmani, suci rohani dan luhur semangat untuk menerima kedatangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap.


Anggota Unit Institut Kejuruteraan Tentera (IJED) melepaskan lapan das tembakan pada Istiadat Bersiram sempena Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Istiadat itu dihadiri Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja, kenamaan kerajaan serta masyarakat sekitar pelbagai peringkat umur yang turut tidak melepaskan peluang menyaksikan istiadat penuh bersejarah di negeri tanah beradat itu.

Penduduk setempat, Afida Mohd Zain, 62, yang kali pertama menyaksikan istiadat berkenaan bersama anaknya, melahirkan keterujaan apabila berpeluang mengikutinya secara langsung yang disifatkan sangat unik dan tiada di negeri lain.

Nur Aryuni Allysha Hasnan, 22, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jasin, Melaka berkata upacara berkenaan memberi pendedahan terutama kepada generasi muda untuk mempelajari keunikan budaya di negeri yang mengamalkan Adat Pepatih ini.

"Upacara seperti ini sangat menarik untuk dipelajari. Malah, ayah saya yang juga buapak juga amat menggalakkan anak-anaknya untuk hadir dalam majlis adat, setiap kali ada upacara membabitkan istana memang saya akan hadir," katanya.

Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli kali pertama diadakan pada 29 April 1898 ketika pemerintahan Almarhum Tuanku Muhammad dan dititahkan supaya diadakan setiap tiga tahun. – BERNAMA

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-12-2024 05:17 AM GMT+8 , Processed in 0.035418 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list