View: 5452|Reply: 0
|
[Johor]
'Kami bahagia tinggal di 'istana' dibina guna bahan kitar semula ini'
[Copy link]
|
|
Mohd Farid bersama Norazlina di pondok usang di Kampung Baru Sungai Johor di Ulu Tiram di sini. FOTO Mary Victoria Dass
Ulu Tiram: "Akibat kesempitan hidup, suami mengambil keputusan untuk membina pondok bagi kami lima beranak dengan menggunakan barangan terpakai dan kitar semula," kata Norazlina Abdullah, 21, ketika ditemui di Kampung Baru Sungai Johor, di sini, hari ini.
Norazlina berkata, suaminya, Mohd Farid Md Yusof, 30, terpaksa membina pondok itu menggunakan kayu hutan dan barangan terbuang dalam tempoh sebulan kerana tidak mampu menyewa rumah selain tidak mahu membebankan ahli keluarga lain.
Menurutnya, suaminya sebelum ini bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM1,200 sebulan malah terpaksa mengeluarkan RM800 untuk sewa rumah di Taman Pelangi Indah di sini.
Katanya, ia mengakibatkan mereka tidak mampu menampung perbelanjaan dapur mahupun keperluan anak yang berusia lapan bulan hingga tiga tahun.
"Tempat tinggal kami sejak dua bulan lalu ini hanya sekangkang kera dan didirikan di tanah pusaka milik ahli keluarga suami, namun kami tetap bersyukur dan bahagia.
"Suatu ketika dulu, kami juga pernah tinggal dalam kereta akibat gagal bayar sewa, sekurang-kurangnya kini kami memiliki tempat tinggal.
"Pondok ini hanya memiliki kemudahan air namun tiada kemudahan elektrik mahupun bilik, tandas juga masih dalam pembinaan," katanya yang menambah anak sulung dan keduanya hanya diberikan minum susu tin pekat.
Pada masa sama, menurut Mohd Farid, tempat tinggal mereka yang terletak berhampiran Felda Ulu Tebrau di sini, agak jauh dari bandar Tiram dan perlu menggunakan laluan kebun kelapa sawit sejauh kira-kira lapan kilometer.
Menurutnya, kini dia hanya bergantung kepada upah bekerja kebun dan bersyukur dengan keprihatinan penduduk kampung yang menawarkan pelbagai sumbangan selain meminjamkan motosikal bagi memudahkan pergerakannya.
"Sebelum ini, saya memiliki kereta namun ia rosak selepas digunakan untuk meredah laluan di kebun kelapa sawit malah kos membaik pulihnya mencecah ribuan ringgit.
"Berikutan tiada pengangkutan, kami kerap berjalan sebelum ini untuk keluar membeli barangan dapur mahupun keperluan anak, namun isteri mahupun anak tidak pernah mengeluh.
"Kami juga bercucuk-tanam selain bergantung kepada cahaya lilin pada waktu malam," katanya selepas menerima sumbangan motosikal dan barangan keperluan disampaikan Pengerusi Persatuan Permata Baiduri Malaysia Faridah Hamzah.
Sementara itu, Ketua Kampung Baru Sungai Johor Shahdon Abd Wahab berkata, pihaknya berharap agensi berkaitan dapat tampil menawarkan bantuan sesuai kepada keluarga Mohd Farid yang dihimpit kemiskinan itu.
Menurutnya, ia termasuk bantuan bagi menambah baik keadaan kediaman itu atas faktor keselamatan keluarga berkenaan.
"Kawasan kebun berkenaan berdepan masalah kacau ganggu monyet liar dan harap keluarga Mohd Farid lebih berhati-hati," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-kitar-semula-ini |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|