|
Gambar fail - Datuk Azizulhasni Awang.
KUALA LUMPUR: Disebalik kejayaan Datuk Azizulhasni Awang pada saingan Austral Wheelrace di Melbourne, Australia edisi ke-125 semalam, jaguh berbasikal trek negara itu sebenarnya 'berseorangan' menyertai kejohanan berkenaan.
Pelumba berusia 34 tahun yang menjalani pembedahan jantung April lalu, mendedahkan laluan getir yang perlu diharunginya, namun hasil yang tuai amat berbaloi buat dirinya.
"Alhamdulillah. Pertamanya saya sangat bersyukur dengan prestasi pada Kejohanan 125th Austral Wheelrace ini.
"Kedudukan pertama dalam acara sprint dan kedua dalam acara keirin memberikan mata penting untuk saya layak ke Nation Cup awal tahun depan yang mana antara proses kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024," kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu dalam hantarannya pada akaun Facebook miliknya.
Semalam, Azizulhasni meraih kejuaraan pertama selepas berehat selama tujuh bulan apabila mengatasi pelumba Blackburn Cycling Club, Sam Gallagher 2-0 pada aksi final acara pecut sebelum menjelmakan perak dalam acara keirin.
"Saya juga melihat ada peningkatan yang sangat drastik dalam prestasi saya berbanding perlumbaan pertama di UCI TCL dulu, syukur. Ini jelas menunjukkan jika kita sentiasa berusaha gigih tanpa berputus asa, kejayaan itu akan pasti berdamping dengan kita, tidak kira tua atau muda, Insyaallah.
"Keduanya, saya berbangga kerana dapat mengharungi perlumbaan ini walaupun terkontang-kanting seorang diri. Sayalah atlet, sayalah mekanik, sayalah 'helper' diri saya dan sayalah jurulatih sendiri. Bukan mudah berlumba di peringkat tinggi dan perlu uruskan semua perkara ini kerana proses pemulihan adalah amat kritikal, setiap saat sangat bermakna.
"Ditambah dengan usia pertengahan 30an ini, proses pemulihan agak perlahan dan tidak seperti ketika di usia 20an dulu. Saya memanaskan badan seorang diri, saya tukar 'gearing' sendiri dan pelbagai perkara saya lakukan secara 'multitasking' ketika perlumbaan berlangsung.
"Ini adalah kali pertama saya perlu berhadapan dengan cabaran sebegini rupa, pada usia sebegini. Bukanlah sesuatu yang ideal untuk peringkat berprestasi tinggi, kadang-kadang jiwa kena kental.
"Secara keseluruhannya, walaupun menjalani pembedahan jantung pada awal tahun ini, saya tidak melihat ianya menjadi halangan buat saya untuk terus berjuang untuk negara dan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.
"InsyaAllah, dan sudah tentu masih dengan misi (terakhir) untuk menggapai pingat emas," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... oi-buat-azizulhasni |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|