Affan Rostam
[email protected]
AHMAD Faizal bergambar dengan barisan penaja rasmi Sukma 2022. FOTO Amirudin Sahib
Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap dengan jumlah penajaan melebihi RM5 juta bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2022 kali ini mampu membantu Majlis Sukan Negara (MSN) menjayakannya dengan baik.
Malah, beliau turut yakin dengan adanya tajaan serta kerjasama daripada 14 syarikat tempatan mampu memberikan impak positif terhadap penganjuran temasya yang sudah memasuki edisi ke-20 ini."Jumlah perbelanjaan secara keseluruhan dalam penganjuran Sukma kali ini melebihi RM5 juta dan tentunya jumlah ini akan membantu pihak penganjur iaitu MSN untuk mengelolakan temasya yang terpenting dan terbesar untuk Malaysia ini.
"Saya yakin usahama strategik dengan rakan-rakan penaja ini akan sentiasa diperkukuhkan dan saya juga ingin menyeru kepada syarikat korporat lain untuk turut sama dalam penganjuran sukan-sukan lain juga," katanya kepada media selepas Majlis Pengenalan Penaja Rasmi Sukma 2022 di Bukit Jalil Golf & Country Resort, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, penganjuran Sukma kali ini sepenuhnya di bawah kelolaan MSN yang mengambil alih daripada negeri Johor.
"Sukma ini sepatutnya dianjurkan oleh Johor dua tahun lalu namun disebabkan pandemik, maka ia tidak dapat dijalankan. Jadi, mereka meminta kepada kami untuk menangguhkannya kepada 2024. Kami bersetuju dan akhirnya MSN yang mengambil alih penganjuran Sukma pada kali ini. "Walaupun di peringkat awal kita belum benar-benar yakin sehingga tahap manakah Sukma ini dapat diadakan, tapi alhamdulillah dengan kebolehan MSN mereka dapat mengelolakannya dalam masa yang begitu singkat," katanya.
Sukma edisi ke-20 yang akan bermula pada 16 hingga 24 September ini mempertandingkan 426 acara dengan membabitkan 31 jenis sukan dan dijadual berlangsung di beberapa lokasi pilihan seperti Lembah Klang, Nilai dan Langkawi.