View: 754|Reply: 0
|
Malaysia mungkin jadi tuan rumah MXGP
[Copy link]
|
|
Muizz (berbaju putih tengah) bersama penganjur kejohanan motocross tempatan dalam sesi dialog diadakan hari ini.
SEPANG: Malaysia kemungkinan besar bakal berada dalam senarai venue dalam kalendar kejuaraan motocross berprestij dunia, MXGP bagi musim 2023.
Pengurus ALS Motorsports, Syamsul Bakhtiar Esa berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk memasukkan Malaysia dalam kalendar musim depan sekali gus memeriahkan lagi industri sukan permotoran negara.
"InsyaAllah tahun depan kita akan menganjurkan MXGP. Kita akan cuba membawa masuk kejohanan yang bertaraf dunia ini. Kejohanan nombor satu untuk sukan motocross di dunia adalah MXGP.
"Apapun, kita memerlukan sokongan bukan saja daripada kerajaan tetapi juga penggiat sukan ini. Penggiat sukan inilah yang perlu bekerjasama dengan kami untuk membawa masuk sukan bertaraf perdana ini pada tahun depan," kata Syamsul yang juga antara penganjur utama kejohanan motocross utama di peringkat tempatan,.
Syamsul ditemui selepas sesi dialog bersama penganjur sukan motocross dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) berkata, pusingan bagi MXGP di Malaysia itu kemungkinan besar dianjurkan pada pertengahan tahun depan dengan perancangan lokasinya di Selangor.
"Pembukaan (kalendar musim) selalunya di Eropah dan selepas itu ke Asia iaitu Indonesia dan selalunya di sana (Indonesia) ada dua pusingan. Selepas itu mungkin ke Malaysia dan ke Thailand namun (perancangan) kalendar itu bergantung kepada penganjur utama (MXGP). Kita akan cuba memasukkan Malaysia dalam kalendar berkenaan," katanya.
Mengulas mengenai sesi dialog yang berlangsung hari ini, Syamsul berkata, ia dianjurkan bagi membolehkan pihak penganjur dan penggiat motocross menemui kata sepakat dalam memastikan sukan ini dapat dibangunkan dalam persekitaran lebih baik.
"Pertemuan hari ini bertujuan untuk menggabungkan penganjur motocross dalam Malaysia. Matlamat utamanya adalah membangunkan sukan ini terutama daripada sudut perlumbaan yang berlesen dan diiktiraf untuk penganjur dan pelumba.
"Kebelakangan ini, banyak yang berlumba dan penganjur membuat kejohanan secara tidak rasmi (tidak menerima pengiktirafan MAM). Ini bermakna tiada perlindungan insurans, keselamatan, pemeriksaan trek, perlindungan pelumba seperti mana perlumbaan rasmi. Jadi pertemuan ini adalah untuk menyelesaikan masalah ini daripada peringkat akar umbi.
"Jadi kami memanggil penggiat motocross ini dan juga penganjur untuk sama-sama berbincang apa yang perlu dilakukan dan bagaimana menyelesaikan masalah ini untuk mencapai satu hala tuju yang lebih baik," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli yang turut berada dalam sesi berkenaan berkata, matlamat sesi berkenaan tercapai hari ini selepas masing-masing melontarkan pendapat bagi menjadikan sukan berkenaan terus berkembang di masa depan.
"Hari ini pertemuan dengan komuniti motocross. Tujuannya adalah untuk menjelaskan mengenai kepentingan pengiktirafan kejohanan supaya ia menjadi satu kejohanan yang selamat untuk penganjur serta peserta.
"Itu adalah objektif utamanya dan daripada pendapat saya, ia sudah tercapai dalam sesi hari ini dan harap kita akan dapat melihat satu kejohanan motocross yang menerima pengiktirafan dalam masa terdekat ini," kata Muizz.
https://www.bharian.com.my/sukan ... adi-tuan-rumah-mxgp |
|
|
|
|
|
|
| |
|