|
HELMI meraikan kejayaan di pentas podium. FOTO ARRC
Kuala Lumpur: Selepas terlepas podium kategori SuperSport 600cc (SS600), semalam, pelumba negara, Md Helmi Azman bangkit untuk menjuarai perlumbaan kedua Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Pelumba Boon Siew Honda Racing itu mempamerkan tunggangan konsisten apabila dia yang bermula di petak kelima bangkit untuk memimpin saingan.
Bermula dari pusingan keenam Md Helmi mengekalkan tunggangan mantap sebelum menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 21 minit 53:861 saat (s).
Semalam, Helmi sekadar berada di kedudukan keempat dalam perlumbaan pertama.
"Pasukan bekerja keras bagi memastikan jentera kami berada pada tahap terbaik. Saya gembira strategi kami menjadi untuk saya dan rakan sepasukan, Khairul Idham Pawi.
"Cuaca di Sepang sangat panas tetapi jentera tetap pantas dan saya bersyukur dengan kemenangan ini," katanya.
Perlumbaan kedua hari ini menyaksikan tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan Astra Honda Racing Team, Andi Farid Izdihar, manakala Khairul
Idham ketiga.
Sementara itu, pelumba Jepun, Haruki Noguchi dari SDG Motor Sports HARC-PRO PH mengungguli saingan utama kelas Asian Superbike 1000cc (ASB1000) dalam perlumbaan kedua hari ini catatan masa 25:44:793s.
Dia mengatasi dua pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing with SHOWA) dan Adam Norrodin (ONEXOX BMW TKKR TEAM) selepas masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
"Ia perlumbaan yang sangat kompetitif dalam perlumbaan satu dan dua tetapi hari ini kami lebih baik. Saya berterima kasih kepada pasukan yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan saya," kata Noguchi.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... angkit-juarai-ss600 |
|