View: 399|Reply: 0
|
Terengganu di landasan terbaik kekal kejuaraan Sukma
[Copy link]
|
|
WAN Sukairi (berdiri, kiri) beramah mesra dengan atlet Sukma sempena program Iftar dan Solat Tarawih Perdana di Kompleks Sukan Gong Badak. -FOTO Ghazali Kori
Kuala Terengganu: Walaupun kejohanan tertangguh lebih setahun, kontinjen Terengganu masih berada di landasan terbaik untuk mengekalkan juara keseluruhan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Lembah Klang bermula 29 September hingga 8 Oktober depan.
Keyakinan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang menegaskan atlet Terengganu kini berada pada fasa terakhir sebelum berjuang dalam pentas sukan terbesar negara itu.
Katanya, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sentiasa memantau perkembangan atlet bagi memastikan mereka berada pada tahap prestasi terbaik biarpun lebih dua tahun tanpa kejohanan kompetitif berintensiti tinggi.
"Dengan berbaki 170 hari lagi sebelum temasya Sukma membuka tirainya, kontinjen kita masih berada pada tahap terbaik untuk merangkul kejuaraan dalam pentas Sukma ini walaupun lebih setahun tanpa kejohanan kompetitif sebenar berikutan negara dilanda wabak pandemik Covid-19 bermula 2020.
"Walau bagaimanapun, kita belum lagi bercadang untuk mengumumkan jumlah sasaran pingat emas, perak dan gangsa kerana masih lagi dalam peringkat penilaian, tapi yang pasti jumlah pungutan pingat itu adalah melebihi daripada yang kita peroleh ketika Sukma terakhir di Perak 2018 dengan jumlah keseluruhan 160 pingat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa, Solat Tarawih dan Sumbangan Duit Raya kepada atlet Sukma Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, malam tadi yang turut dihadiri Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan Terengganu akan menyertai dalam 27 acara daripada 31 sukan yang dipertandingkan dengan strategi tambahan dalam misi memburu kejuaraan keenam pada kejohanan terbesar itu.
Katanya, Terengganu tidak menghantar penyertaan dalam empat acara sukan yang dipertandingkan iaitu sukan gimnastik wanita, bola tampar dewan, bola keranjang dan kriket disebabkan prestasi atlet yang ada tidak mencapai standard yang ditetapkan MSNT serta etika berpakaian yang tidak sesuai mengikut dasar yang ditetapkan kerajaan negeri juga antara sebab MSNT tidak menghantar wakil dalam temasya itu.
Ketika temasya Sukma edisi ke-19 di Perak, Terengganu muncul juara keseluruhan selepas meraih 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa sekali gus berjaya mencipta sejarah kelima merangkul gelaran itu bermula 2008 di Kuala Terengganu, 2010 di Melaka, 2011 di Pahang dan 2012 di Kuala Lumpur.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... kal-kejuaraan-sukma |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|