Edited by laradelara at 16-2-2022 09:59 PM
KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) dengan bergaya apabila muncul juara Kumpulan Y selepas merakam kemenangan kedua dengan menewaskan India 3-2, hari ini.
Lebih manis, kejayaan itu bukan saja menyaksikan barisan pemain wanita mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Filipina tetapi turut mengesahkan tiket secara automatik ke pusingan akhir Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand, Mei depan.
Selaku juara kumpulan, skuad wanita kini berpeluang untuk mengintai tempat ke final apabila hampir pasti dapat mengelak daripada bertemu Korea Selatan yang dilabel sebagai pilihan utama sebagai juara di peringkat separuh akhir.
Korea yang sudah merakam kedua kemenangan setakat ini dilihat tidak berdepan masalah untuk menewaskan Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan Z sekali gus turut muncul juara kumpulan.
Terdahulu, pemain perseorangan wanita, S Kisona bangkit daripada kekalahan set pertama bagi menyumbang mata pertama buat pasukan apabila menang ke atas Aakarshi Kashyap 21-16, 18-21, 21-16 sebelum Pearly Tan-Valeree Siow mudah menundukkan Kushi Gupta-Mehreen Riza 21-1, 21-6 untuk skuad negara selesa di depan 2-0.
Pemain perseorangan kedua, Siti Nurshuhaini Azman gagal mengekalkan momentum yang menyaksikan dia mencetuskan kebangkitan skuad negara bagi menewaskan Jepun 3-2 semalam apabila dia tewas di tangan Ashmita Chaliha 11-21, 19-21.
Bagaimanapun, beregu kedua, Teoh Mei Xing-Anna Cheong memastikan kemenangan menjadi milik Malaysia apabila meraih mata ketiga dengan menewaskan Arul Bala Radhakrishnan-Nilla Valluvan 21-10, 21-12.
Hasrat Malaysia meraih mata keempat tidak kesampaian apabila perseorangan ketiga, Myisha Mohd Khairul tewas di tangan Tara Shah 16-21, 15-21.
Undian bagi aksi separuh akhir akan dilakukan sebaik tamat semua perlawanan peringkat kumpulan malam esok dan perlawanan kelompok empat terbaik dijadual berlangsung pada Sabtu ini.
|