CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4389|Reply: 0

seni kaligrafi dunia

[Copy link]
Post time 23-1-2009 04:49 PM | Show all posts |Read mode
Kaligrafi dunia
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


Datang dari China dengan lukisan kaligrafinya yang bukan calang-calang. Buah tangan Gu Naiping mendapat pengiktirafan antarabangsa



"GU Naiping mempunyai bakat melukis luar biasa dan
terpilih sebagai artis dan pelukis kaligrafi gred pertama
Seni Kaligrafi Antarabangsa."



BAGI sesetengah orang, lukisan kaligrafi tidak lebih daripada calitan berus dengan warna hitam di atas kertas. Namun, bagi yang menjiwainya, ia memberi seribu makna tersirat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Melukis kaligrafi memerlukan ketajaman dan ekspresi yang mendalam untuk menghasilkan satu lukisan yang unik. Ini kerana, setiap warna, garisan, kedudukan, titik, atau tompok, meliputi banyak aspek daripada perspektif yang berbeza.

Dalam seni kaligrafi Cina, selain bentuk lukisan yang menarik, makna syair yang ditulis juga menentukan nilai karya tersebut. Salah satu daripadanya adalah tulisan syair berhuruf Han Zi.

Bagi yang bukan berketurunan Tionghua, mungkin mereka tidak tahu makna di sebalik tulisan tersebut. Padahal di sebalik kaligrafi itu tersembunyi pelbagai filosofi Cina mengenai manusia, alam, dan ketuhanan untuk direnungkan.

Bertempat di Aras 6, Pavilion Kuala Lumpur, satu galeri lukisan kaligrafi Cina hasil sentuhan pelukis kaligrafi terkemuka dari negara China, Gu Naiping telah dilangsungkan baru-baru ini. Masuk sahaja ke galeri tersebut, kelihatan beberapa lukisan mengisi ruang pameran yang membawa erti masing-masing.

Menurut Gu Naiping, lukisan-lukisan yang dipamerkan di galeri seni itu lebih berkisar tentang kehidupan, pemandangan dan keagungan dunia. Selain itu, dia juga menghasilkan sebuah lukisan unik yang menggambarkan tentang kehidupannya.

"Ini adalah lukisan yang paling saya sukai. Ia menggambarkan tempat kelahiran saya. Di mana sahaja saya pergi, saya tidak akan melupakan tempat lahir saya. Syair yang saya tulis pada lukisan ini memberi makna 'Walau sejauh manapun kita merantau, tempat asal-usul kita, jangan sesekali dilupakan," cerita Gu Naiping mengenai lukisannya.

Menceritakan latar belakangnya, Gu Naiping memberitahu, beliau berasal dari sebuah keluarga miskin dan bapanya ialah seorang pegawai yang berkhidmat dalam Akademi Tentera Huangpu.

Kemudian, keluarganya berpindah ke Suzhou ketika Gu Naiping berusia tiga tahun.

Mempunyai minat yang mendalam terhadap seni kesusasteraan sejak kecil, Gu Naiping memilih muzik sebagai sumber inspirasi bagi menghasilkan lukisannya. Selain itu, elemen-elemen alam semula jadi turut menyuntik idea kepadanya untuk menghasilkan karya lukisan kaligrafinya.

Bakat, kreativiti, keazaman dan minat yang mendalam membuatkan dia melangkah jauh ke dalam dunia seni yang tiada batasan. Akhirnya, Gu Naiping berjaya menjejakkan kaki di Suzhou Amateur Fine Arts School pada tahun 1983.


"PEMINAT kaligrafi berpusu-pusu datang ke pelancaran Galeri Seni Gu Naiping di Aras 6, Pavilion, Kuala Lumpur."

Gu Naiping mempunyai bakat melukis yang luar biasa dan kerana itu, dia terpilih sebagai artis dan pelukis kaligrafi gred pertama dalam Seni Kaligrafi Antarabangsa. Hasil kerja seninya turut diiktiraf oleh badan seni yang disegani di serata dunia iaitu Pendaftaran Pendudukan dan Watikah Kesatuan (IORC).

Kebanyakan karya-karya Gu Naiping boleh didapati di Seoul, Tokyo dan negara-negara Barat. Sebahagian daripada karyanya turut diterjemahkan ke dalam Thesaurus dan buku-buku tahunan di negara-negara Barat.

Gu Naiping memberitahu, Malaysia menjadi destinasi bagi mempamerkan hasil-hasil seninya kerana kepelbagaian kaum yang terdapat di negara ini. Justeru, melalui hasil seninya itu, ia dapat diperkembangkan ke negara lain di rantau ini.

Lebih mengujakan apabila lukisannya seperti Moonlight in Gusuyang yang telah menerima pelbagai anugerah dan disimpan di Pusat Seni Dunia di Amerika Syarikat (AS) turut dipamerkan di Pavilion Kuala Lumpur.

Antara lukisan lain yang dipamerkan adalah Light Snow in Gusu, Cliffside Spring of the Huangsuan Mountain, The Feeling about The Hometown, The Bright, Round Moon Upon the Hometown dan Abandonment and Gain.

Terdapat juga lukisan Gu Naiping yang dihasilkan menggunakan dakwat emas berjaya dijual di AS pada harga RM48,000.

Harga-harga lukisan Gu Naiping adalah di antara RM5,000 hingga RM48,000 sekeping.

Sempena Tahun Baru Cina yang bakal tiba, sudah tentu anda ingin melakukan perubahan dekorasi yang menarik untuk tatapan tetamu yang datang.

Dekorasi sesebuah rumah bukan sahaja terletak pada perabot dan langsir baru, tetapi penggunaan lukisan yang mengisi ruang dinding rumah juga bakal memberi impak yang mengagumkan.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 07:27 AM GMT+8 , Processed in 0.045848 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list