Amir Hasan Cuba Nasib Jadi Komposer, Mengharapkan Tuah Lagu Terbaru
Lebih tiga tahun berjuang sebagai anak seni, Amir Hasan, 24, terus berusaha keras menghasilkan karya dalam dunia muzik.
Sebenarnya, kehadiran Amir dalam dunia hiburan mula mendapat perhatian selepas dia menjadi salah seorang daripada 12 peserta Big Stage musim ketiga.
Sebelum itu, Amir pernah tular kerana video bersahaja beliau menyanyikan lagu Akad (Payung Teduh) ketika bekerja di kedai Vape. Kemudian Amir menjadi semakin popular dan bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia.
Baru-baru ini, Murai MY berkesempatan bertemu dengan Amir ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Warner Music Malaysia di Sunway Resort, Petaling Jaya. Ingin terus untuk mengembangkan bakat dalam bidang muzik, ternyata Amir kini sedang sibuk mencipta lagu untuk penyanyi lain.
“Kalau menyanyi itu agak kurang sedikit, tapi Alhamdulilah, kini saya sibuk buat lagu untuk orang. Sekarang rezeki saya banyak untuk cipta lagu dan tulis lirik”- katanya
Kerana minatnya yang mendalam dalam seni hiburan, Amir juga tidak menolak jika ditawarkan untuk berlakon dan menjadi pengacara.
“Dalam masa yang sama, jika saya dapat tawaran berlakon, mengacara atau menyanyi pun, saya akan ambil. Cuma saya akan fokus lebih pada cipta lagu dan menulis lirik dahulu.”-katanya kepada Murai MY.
Terbaru, Amir menjadi komposer dan penulis lirik untuk lagu berjudul Luka Hati nyanyian Alan D & Faizal Tahir yang dilancarkan pada Februari yang lalu. Amir berkata, selepas ini dia akan menjadi komposer untuk menghasilkan lagu kepada beberapa penyanyi lain antaranya salah seorang peserta Big Stage musim ketiga, Farisha Iris.
Sementara itu, Amir juga bakal mengeluarkan single terbaru hasil ciptaannya sendiri tidak lama lagi. Dia berkata, single terbaru kali ini mempunyai genre berbeza dan mengharapkan tuah lagu terbaru agar diterima ramai. Malah dia juga berhasrat lagu tersebut dapat bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Insyallah, lepas raya saya akan keluarkan lagu sendiri. Saya tidak mahu terikat dengan satu genre dan mahu mencuba sesuatu yang berbeza. Tambahan lagi, sebagai seorang komposer saya kena lebih teliti dan rancang betul-betul sebelum bagi orang dengar.”- tambahnya lagi.
Sempena bulan Ramadan, Amir muncul dalam sebuah sketsa komedi pendek bersama penyanyi Sissy Imann, Bunga, youtuber terkenal Luqman Podolski. Video sketsa berjudul ‘Bila Ibu & Anak Puasa’ itu ditayangkan di saluran Youtube Warner Music Malaysia.