RAMAI YANG NAK JADI KEBAL, TAPI SEBENARNYA MANUSIA KEBAL NI BERPENYAKIT…
Pernah tak anda dengar tentang seseorang yang dianugerahkan Tuhan dengan tidak ada rasa sakit bila cedera? Atau bila terkena air panas dia tak beri respons langsung? Kalau dalam masyarakat melayu, ada juga yang kaitkan kelebihan ini dengan ilmu kebal. Tak kurang juga ada yang anggap bila seseorang itu ‘kebal’, ia mengamalkan ilmu sihir atau minta pertolongan jin.
Kebal dalam alam Melayu, walaupun kebal ada kelemahan…
Kisah Mahsuri antara lagenda yang dikaitkan dengan unsur kebal – via iluminasi.com
Walaupun kebal difahami umum sebagai sesuatu yang bersifat tak ada kelemahan atau tidak akan musnah/terancam dengan apa-apa bahaya seperti senjata tajam, tapi dalam alam Melayu, kisah-kisah kebal ini ada juga kelemahannya. Kita ambil contoh kisah Mahsuri di Langkawi, walaupun Mahsuri tak lut pada sebarang senjata ketika dihukum bunuh, tapi dia tetap akan mati kalau ditikam dengan keris pusaka keluarganya.
Contoh lain pula, orang kebal juga dikatakan ada yang lemah terhadap senjata seperti buluh runcing, pelepah pisang dan batang keladi. Eh, buluh runcing ni macam pernah dengar… di mana ya?
CIPA: Penyakit ‘Kebal’ yang tidak diketahui ramai
Sememangnya kita tidak menafikan ada perkara yang sains belum dapat buktikan. Contohnya macam sihir seperti santau. Dan ia dapat dirawat melalui kaedah ruqyah yang diamalkan oleh agamawan dalam Islam. Tapi tentang manusia kebal, mungkin ramai yang tak tahu yang ia boleh jadi disebabkan oleh sejenis penyakit.
Penyakit itu dikenali dengan nama CIPA atau nama penuhnya Congenital insensitivity to Pain with Anhidrosis. Amboi nama penyakit tak boleh panjang lagi, ke? Okaylah, mungkin anda tertanya-tanya juga apakah simptom-simptom penyakit ini.
Kenali sindrom CIPA dari namanya, ini kebal betul ni…
Terlebih dahulu, kami akan terangkan tentang nama penyakit ini. ‘Congenital’ merujuk kepada penyakit yang dihidapi oleh pesakit sejak dari lahir.
Jadinya, bila kita sebut Congenital Insensitivity to Pain, ia bermaksud pesakit ini tidak dapat merasa sebarang rasa sakit sejak lahir.
Penyakit ini agak ‘rare’ sebab tidak ramai yang mengalaminya. Tambahan pula, ia adalah sejenis penyakit yang berpunca dari faktor genetik.
Sebab itulah, bagi bayi yang mengalami CIPA, ia tidak menangis walaupun mengalami luka.
Anhidrosis pula ialah keadaan di mana seseorang tak mampu berpeluh. Bukan sahaja pengidap CIPA tidak akan berasa sakit, malah mereka juga tidak berupaya untuk rasa perbezaan suhu. Baik sejuk mahupun panas. Jadi kalau ada orang yang langsung tak berpeluh biarpun berada di bawah terik matahari, berkemungkinan dia ada simptom Anhidrosis.
CIPA umpama bom jangka masa yang boleh meletup bila-bila masa
Setiap deria yang Tuhan kurniakan adalah anugerah. Sakit dan pedih, memang akan buat kita tak keruan.
Tapi dengan rasa yang kita alami itulah yang buat kita tahu, sebenarnya kita sedang mengalami kesakitan.
Bila kita tak dapat rasa sakit, kita tak akan perasan kalau kita ada luka dan sebagainya. Begitu juga dengan berpeluh, peluh sebenarnya berfungsi untuk mengoptimumkan suhu badan kita.
Tapi bagi penghidap CIPA, biarpun luarannya orang nampak macam kebal tapi mereka menderita dalam diam.
Kerana tidak berupaya untuk mengenalpasti perbezaan suhu, ada yang meninggal dunia dalam cuaca ekstrem seperti kemarau dan musim sejuk melampau.
Tabiat menggigit jari adalah biasa, tapi berisiko bagi bayi CIPA – via science.howstuffworks.com
Lebih kritikal lagi apabila mereka juga tak dapat rasa sakit apabila tulang patah atau cedera parah. Jadi, ada antara pesakit yang mendapat struktur badan yang tidak normal.
Misalnya, biasanya bila bayi mula gatal gusi seawal 3 bulan, mereka mesti rasa nak menggigit sesuatu seperti jari. Tapi bayi normal akan menangis jika mereka menggigit jari sendiri terlalu kuat sebab rasa sakit. Berlainan dengan bayi CIPA, mereka akan terus menggigit sampai ada yang boleh hilang kuku.
Kesan ‘teething’ bagi bayi CIPA – via congenitalinsensitivity.blogspot.com
Adakah terdapat rawatan khusus untuk CIPA?
Buat masa sekarang, masih belum ada rawatan untuk penyakit ini. Ibu bapa yang mempunyai anak CIPA perlu memberi tumpuan yang khusus kepada mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Pada setiap waktu, ibu bapa mesti memeriksa keadaan anak-anak sekiranya mereka mengalami luka atau apa-apa kecedaraan. Hal ini demikian kerana mereka tidak berupaya untuk mengalami rasa pedih atau sakit langsung.
Semoga dengan perkongsian ini dapat meluaskan lagi sudut pandang kita terhadap isu perubatan yang mungkin berkait dengan mitos atau lagenda seperti isu kebal ini. Manusia hanyalah makhluk ciptaan Tuhan dan sesungguhnya kesempurnaan dan kehebatan milik Dia sahaja.