|
Edited by jamalkarim at 21-11-2020 05:32 PM
Antara beberapa koleksi kisah perbicaraan Kes Kerat 18 yang pernah menghiasi akhbar-akhbar tempatan suatu ketika dahulu.
Credit : Berita Minggu, Berita Harian, Harian Metro, Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia
Menangis Ketika Peluk Abang
Saya tak buat….Saya tak bersalah,”itulah ungkapan pertama yang diucapkan oleh Mona sambil menangis ketika memeluk abangnya, Tengku Yahya Tengku Abdullah, di Mahkamah Majistret Raub. Mona berpeluang bertemu dengan abangnya yang berlainan bapa dengan izin majistret Jalaluddin Salleh, selepas selesai hari pertama siasatan awal kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris. Dia juga merapatkan pipinya pada muka abangnya.
Tengku Yahya kemudian meminta Mona bersabar dengan berkata “Tuhan ada dan kita tak perlu takut kalau kita tak bersalah.” Sejurus kemudian, suami Mona, Affendy bersalaman dengan Tengku Yahya sambil mencium pipinya. Mona turut meluruskan tangan dan mengangkat sepuluh jarinya kearah Tengku Yahya sebagai tanda memohon maaf sebelum ke lokap mahkamah. Abangnya juga mengangkat tangannya kearah Mona
Sebelum itu, Tengku Yahya yang menjadi saksi keenam pendakwa, memohon kepada mahkamah agar dibenar untuk bersalaman dengan Mona dan adik iparnya, Affendy. Katanya, beliau sudah lama tidak bertemu dengan adiknya itu. Ketika ditemui di luar mahkamah, Tengku yahya memberitahu, beliau teringin benar bertemu Mona dan Affendy setelah lama berpisah dan tambahan pula mereka jarang berjumpa. “Saya sangat sayang padanya kerana dialah yang membawa saya bertemu dengan ibu kami yang ketika itu berada di Perlis. Setelah ibu dan bapa berpisah ketika saya berusia enam bulan, ibu terus menetap di Perlis manakala saya dibawa oleh bapa ke Kelantan. Tetapi dengan bantuan Mona, saya dapat bertemu ibu dan itulah sebab saya teringin benar berjumpanya.”katanya
Dalam keterangan mahkamah, Tengku Yahya dari Kampung Kubang Badak, Kota Bharu, berkata beliau menerima panggilan Mona pada kira-kira jam 8.30pagi pada 5 Julai 1993 memintanya datang ke Kuala Lumpur jika mahu wang. “Saya berjumpa Mona di bilik 2005 Hotel Park Royal. Affendy dan seorang anak mereka yang hanya dipanggil Diana ada bersama. “Mona memberi saya seutas jam tangan Philip Charriol dan wang tunai RM250 manakala Affendy pula memberi sekeping duit kertas RM1000,”katanya.
Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwaraya, Suriyadi Halim Omar, Tengku Yahya berkata beliau juga ternampak seorang lelaki bernama Azmi di dalam bilik hotel itu. “saya hanya tahu dia itu biras saya, tetapi tidak pasti sama ada dia itu adik atau abang kepada Affendy,”katanya
|
|