Isu pakar perubatan palsu kini antara topik hangat. Kalau di Malaysia kita baru sahaja dikhabarkan dengan berita doktor gigi palsu, ini pula kisah seorang mangsa doktor bedah palsu di Columbia.
Jerson Trujillo, 28, yang mahu melakukan pembedahan di bahagian pipi dengan hasrat mahu kelihatan lebih feminin punah selepas pembedahan itu yang bukan sahaja tidak menjadi malah menyebabkan mukanya mereput dan busuk.
Dia mengakui tidak tahu apa yang menyebabkan keadaan itu sehingga mukanya rosak, mereput dan keluar nanah.
“Segalanya bermula selepas mengambil rawatan pelembut susulan rawatan suntikan pada pipi itu. Rawatan pelembut memberi reaksi buruk terhadap kandungan dalam pipi saya di mana selepas 3 bulan kulit saya mereput dan bernanah,” katanya petik Daily Mail.
Jelasnya lagi, ketika kandungan tidak dikenali disuntik ke dalam pipi, dia juga rasa pedih dan panas.
Bagi membetulkan prosedur itu, Jerson terpaksa menjalani 4 pembedahan yang menyakitkan dan masih ada 2 lagi yang dijadualkan pada masa akan datang.
Jerson hanya mendedahkan perkara itu kepada umum selepas 4 tahun kejadian itu berlaku, selepas mukanya semakin sembuh.
Sejak kejadian, Jerson jarang keluar rumah atau menunjukkan wajahnya kepada umum.
Doktor palsu itu sudah melarikan diri dan tidak dapat dikesan.
Pihak berkuasa negara itu meminta individu supaya sentiasa memastikan doktor bedah kosmetik adalah pakar bertauliah yang mempunyai dokumen sah untuk mengelakkan perkara sebegitu berlaku.
|