Gadis Singapura Dilapor Hilang, Bawa Pulang Kekasih Romania
SEORANG gadis berasal dari Singapura, Cheryl Yap Lay Leng yang dilaporkan hilang oleh bapanya awal tahun ini selamat kembali ke tanah air tetapi dengan membawa bersama teman lelakinya dari Romania, Alexandru Donea.
Memetik laporan Asia News Network, kehilangan Cherly dan ibunya, Foo Li Kheng dibuat oleh bapanya yang bimbang dengan keselamatan dua ahli keluarganya itu yang tidak memberitahu pemergian mereka ke Romania. Cheryl, 25, pergi ke Romania pada Januari lalu dengan ibunya untuk bertemu kekasihnya, Donea, 18, yang dikenalinya sejak dua tahun lalu menerusi jaringan media sosial. Sepanjang tiga bulan di Romania, anak-beranak itu tinggal di rumah keluarga Donea di Vulturesti, kira-kira 150 kilometer dari bandar Bucharest, ibu negara tersebut. Kini, giliran Donea dan ibunya, Aurelia pula berada di Singapura untuk melawat bapa Cheryl. Aurelia juga sempat memuat naik gambar mereka berempat di sebuah pusat beli-belah di kota Singa, dengan kapsyen: “Di Singapura membeli-belah bersama anak perempuan dan anak lelaki saya”. Difahamkan Cheryl dan Donea menjalani hubungan jarak jauh selama lebih dari dua tahun dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.
|