CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1479|Reply: 1

Untuk siapakah negara Malaysia ini?

[Copy link]
Post time 19-3-2016 06:37 PM | Show all posts |Read mode
Untuk siapakah negara Malaysia ini?

Berikut adalah penulisan berani dari salah seorang pembaca blog ini yang bernama Syeikh Awang Belanga . Artikel ini telah di kongsi bersama salah seorang editor kanan akhbar berbahasa Melayu. Walapun beliau ingin menyiarkannya, namun disebabkan 'suasana media yang diperhatikan setiap gerak-geri seperti sekarang', artikel ini tidak dapat beliau siarkan. Napoleon sebenarnya silap, pena tidak lagi lebih berkuasa dari bayonet, setidak-tidaknya di negara kita ini.



Tradisi menyalahguna kuasa politik untuk kepentingan peribadi bukanlah fenomena baru. Para cerdik-pandai dan agamawan sejak sekian lama telah membahaskan tentang peri-pentingnya membenteras gejala rasuah sebelum ianya mematahkan semua sendi-sendi dalam proses membina negara untuk  kesejahteraan rakyat. Namun, rasuah dan salahguna kuasa sehingga kini kekal menjadi barah yang membunuh setiap sel demokrasi dan akhirnya membinasakan negara.

Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan skandal rasuah semakin menjadi-jadi di seluruh pelusuk dunia. Rentetan dari kecenderungan ini, momentum mendedahkan dan membawa koruptor ke muka pengadilan kini bergerak cergas di pelbagai negara.

Contohnya Petrobas, sebuah syarikat petroleum gergasi milik Brazil kini menanggung beban hutang korporat terbesar di dunia kerana dicemari rasuah. Beberapa eksekutif syarikat dan ahli politik berprofil tinggi termasuk Presiden Dilma Roussef yang telah disoal-siasat agensi anti-rasuah dalam mengenalpasti punca kegagalan syarikat yang dikaitkan dengan gejala makan suap yang parah.
Malah bekas Presiden Luiz Inacio Lula da Silva juga ditahan.

Populariti Presiden Mexico Enrique Pena Nieto pula merudum apabila berdepan penyiasatan pihak berkuasa anti-rasuah gara-gara meluluskan beberapa kontrak besar negaranya kepada syarikat dengan terma dan syarat yang mencurigakan.

Dalam beberapa kes lain, siasatan badan-badan pencegah rasuah telah memaksa Presiden Otto Perez Molina dari Guatemala meletakkan jawatan. Di Eropah, nasib yang sama menimpa Perdana Menteri Romania Victor Ponta apabila dibicarakan atas pertuduhan mengelak dari membayar cukai dan terlibat dengan jenayah pencucian wang atau money-laundering.

Dunia kini memerhatikan gerakan pembenterasan rasuah di Cina dengan diterajui Presiden Xi Jianping yang menggoncang sistem politik negara sosialis berpenduduk 1.38 bilion ini hingga ke akarnya. Sasaran utama perang anti-rasuah ini tidak lain adalah bekas elit keselamatan negara China merangkap ahli Politburo parti iaitu Zhou Yongkang beserta juak-juaknya yang berpengaruh

Bagi rakyat Brazil, Mexico, Guatemala, Romania dan China, mereka bernasib baik kerana masih mempunyai saluran, ruang dan mekanisme pengawasan untuk memastikan ketidakadilan dan ketirisan ekonomi dihentikan, dan dalang-dalangnya diheret ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman setimpal. Malah rejim zionis Israel yang terkenal zalim juga menghumban mantan Perdana Menteri Ehud Olmert ke penjara apabila didapati bersalah mengambil rasuah semasa beliau menjadi Datuk Bandar.

Justeru, elit politik dan perniagaaan mutakhir ini terpaksa lebih berhati-hati dalam menjalankan amanah yang diberi kerana tindak-tanduk mereka sering diperhatikan.

Malangnya, Malaysia kini mengharungi detik-detik cemas sejarahnya apabila dilanda darurat rasuah. Berdepan dengan krisis rasuah mega,  rakyatnya kini lumpuh apabila hampir segala wilayah kekuasaan meliputi institusi perundangan, urustadbir, agama dan media rasmi memihak kepada penggelap

Asakan demi asakan ke atas kebebasan rakyat dilakukan bertujuan menutup pekung individu paling berkuasa di Malaysia. Mereka yang mempertanyakan kebenaran dilucutkan jawatan. Media yang melaporkan salahlaku syarikat ‘sovereign debt fund’ negara  pula didakwa manakala pelbagai wahana media sosial disekat aksesnya.

Akal sihat juga diremehkan apabila suatu aktiviti demokratik seperti membuat laporan di balai polis disamakan dengan kesalahan pengganas. Akibatnya para pelapor ditahan dibawah Akta SOSMA dengan kejamnya selama 28 hari tanpa pertuduhan.

Terkini, di bawah semakan Akta Rahsia Rasmi, wartawan dan peniup wisel jenayah penyelewengan bakal dikenakan hukuman penjara seumur hidup beserta sebatan.

Malah salah seorang menteri yang telah mati hati-nuraninya telah dengan angkuh mengatakan rakyat yang menuntut keadilan boleh terus menyalak seperti anjing tanpa ada sesuatu apa pun yang akan menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri.

Bandingkan pentadbiran kuku besi ini dengan realiti kehidupan elit-elit politik dan tali-barut mereka. Segelintir mereka dan keluarga bersenang-lenang dengan kekayaan melimpah-ruah dan gaya hidup yang tidak keterlaluan dikatakan lucah dan tidak setimpal dengan pendapatan bulanan mereka. Jauh sekali dari dihukum di muka pengadilan, mereka yang makan suap dengan jumlah jutaan dan bilion Ringgit malah disucikan oleh pengikut mereka persis para nabi yang maksum.

Apa yang telah terjadi kepada integriti dan akidah kita?

Perkembangan di atas menuntut pelbagai pertanyaan tentang dasar penegakan keadilan.

Untuk siapakah negara Malaysia ini?

Adakah undang-undang hanya bertujuan melindungi golongan elit pemerintah yang keberadaannya tak lain adalah kerana diamanahkan oleh rakyat melalui cukai-cukai pendapatan dan GST untuk mentadbir negara?

Tahukah anda jumlah RM2.6 bilion boleh membiaya sepenuhnya 325,000 pelajar sepanjang pengajian mereka di universiti-universiti tempatan? Ianya juga cukup besar untuk membayar subsidi bulanan nelayan selama 9 tahun! Pertanyaan-pertanyaan ini adalah hak asasi rakyat yang merdeka.

Justeru usahlah ianya disalah tafsir sebagai mempunyai rencana anarkis. Lihatlah sahaja bagaimana malapetaka kesan pengkhianatan amanah dari rakyat kian hari menjadi kian jelas.

Amat menyedihkan apabila negara tumpah darah kita kini menjadi bahan sindiran akhbar-akhbar di seluruh dunia. Tidak pernah dalam sejarah Malaysia terpalit skandal kewangan sebegini parah dan memalukan. Matawang Ringgit Malaysia teruk terkena tempias persepsi negatif ini. Jika anda berkunjung ke Selatan Thailand, jangan terkejut jika penggurup wang tidak lagi sanggup menerima Ringgit yang mereka anggap tidak stabil nilainya dan berisiko tinggi.

Di Dubai pula, rakyat terpaksa membawa gold bar kerana Ringgit sudah tidak laku.

Demikianlah musnahnya maruah negara yang telah susah payah kita bina nersama sejak 59 tahun yang lalu.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia, membebaskan negara daripada belenggu rasuah kronik dan kejahatan politik menjadi tanggungjawab kita bersama. Jika parti memerintah tidak menggantikan Presiden dan kuncu-kuncunya yang mendokong beliau dalam masa terdekat dikhuatiri lebih banyak lagi bencana ekonomi, sosial dan politik yang bakal menyusul dan menjahanamkan negara.

Sekiranya parti ini dan 3 juta ahlinya tidak berdaya merubah kepimpinannya kerana rasuah telah membudaya, 27 juta lagi rakyat negara ini harus mencari jalan keluar lain.

Jangan nanti anak dan cucu kita hidup bangsat lalu meludah di pusara kita kerana dayus dan takut kepada pemimpin munafik yang mencuri kekayaan negara.

Sebagai langkah permulaan, marilah kita sama-sama menandatangani Deklarasi Rakyat yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamad dan gabungan 58 ahli politik dan aktivis ternama negara.
[boleh mentandatangani deklarasi rakyat di sini ]

Mesej jelas harus disampaikan kepada Majlis Raja-Raja bahawa rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat menolak sekeras-kerasnya budaya korupsi dan salah guna kuasa eksekutif di negara Malaysia tercinta ini.

Akhir kalam, kepada rakyat yang memegang kalimah Syahadah, sandarkanlah iman kembali kepada Allah sebagai pelindung semesta dan abadi. Ingatlah, Al-Quran secara jelas mengecam perbuatan rasuah dengan menempatkannya setara dengan kebatilan lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Pelakunya dan mereka yang bersekongkol pula dijanjikan balasan api neraka di akhirat kelak dan dihinakan kehidupan mereka di dunia yang fana.

Nauzubillah!


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 19-3-2016 11:15 PM | Show all posts
Apake nyanyok.....
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 11:42 PM GMT+8 , Processed in 0.376657 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list