View: 1323|Reply: 0
|
Tanam 7 Petua Ini Dalam Diri Anak
[Copy link]
|
|
Oleh:Naimah Mingguan Wanita
Aku seorang ibu berkerjaya, jadi bukan mudah untuk aku menjadi ibu terbaik buat anak-anak. Tentu sekali aku mahu mendidik dan mengasuh anak-anak ini menjadi insan berguna dunia dan akhirat. Namun kekangan masa ada kalanya melelahkan. Maklum sajalah, sampai di rumah pun ketika matahari sudah melabuhkan tirai. Bukan saja ibu, anak-anak pun begitu.
Bila dihitung-hitung, aku cuma ada masa dua jam saja untuk melayan kerenah mereka. Masa itulah aku cuba penuhi kehendak mereka sebelum masuk tidur. Aku cuba mengajar mereka secara tidak langsung melalui permainan atau buku agar mereka kenal huruf dan nombor.
Anak sulung aku baru berusia tiga tahun, adiknya pula setahun tujuh bulan. Bayangkan betapa kalut aku melayan mereka dalam kepenatan yang masih bersisa. Tapi aku sedar, pada usia seawal beginilah aku harus menerapkan nilai-nilai murni kepada mereka.
Lalu aku teringat pengalaman ketika bertugas menemu bual dua figura ini, Ustaz Don Daniyal dan Puan Roslina Othman yang memiliki anak tantrum (panas baran, suka mengamuk dan sebagainya). Ya, banyak perkara yang aku terlepas pandang mengenai cara mendidik anak. Sekalipun perkara itu kelihatan remeh tetapi impaknya sangat besar.
Banyak sungguh tip yang aku peroleh daripada dua personaliti dalam membentuk anak menjadi soleh, solehah, mendengar kata dan bijak membawa diri.
Ini kesimpulan yang aku kira berguna untuk ibu-ibu semua:
1. Kata-kata ibu bapa doa bagi anak. Jadi berwaspada dengan apa yang diluahkan.
2. Ajar anak mendengar kalimah toyyibah, bukan sahaja perkataan ABC.
3. Jangan solat sembunyi atau menjauhkan diri daripada anak. Biar mereka lihat dan belajar.
4. Berzikir, qasidah dan selawat, ia boleh membuatkan hati anak menjadi lembut dan taat.
5. Ajar anak sebelum melakukan sesuatu menyebut nama Allah dan akhiri bersyukur pada Allah. Ia mengajar anak sikap sabar dan kenal Allah.
6. Jangan mudah beranggapan kepada anak sebelum sesuatu terjadi. Anggapan ibu bapa satu doa untuk menjadikan ia kenyataan.
7. Hidupkan amalan sunnah dalam kehidupan seharian. Contohnya, doa masuk tandas, doa sebelum dan selepas bangun tidur. Ini mampu membentuk anak menjadi baik dan mendengar kata.
Satu amalan di atas, kini aku dan suami cuba baiki. Kalau dulu setiap kali solat berjemaah, kami akan lakukan dalam bilik tertutup. Alasannya, kami rimas diganggu anak-anak ketika solat. Apa tidaknya, anak-anak akan berdiri di hadapan kami, ketika kami kumat kumit mereka suapkan makanan. Allah, hilang khusyuk dibuatnya.
Sekarang aku dan suami sengaja berjemaah depan anak-anak. Nampak perubahan pada pemahaman mereka. Mula-mula memang anak-anak mengganggu tetapi dengan kuasa Allah, apa yang kami lakukan, diikuti anak-anak perlahan-lahan. Si kakak dan si adik mula sembahyang dengan cara mereka setelah mendengar azan berkumandang.
Kalau kebetulan dalam kereta, sebaik habis azan, mereka solat di tempat duduk. Gelagat dan telatah mereka menghiburkan. Rasanya hilang penat bekerja seharian.
Allah ya Allah, semoga aku dikurniakan anak-anak yang menjadi permata di syurga!
MINGGUANWANITA
|
|
|
|
|
|
|
| |
|