Kontroversi Ariel belum bernoktah
DARI KIRI: Lukman, Ariel, Reza dan Luki kini bergabung semula selepas pembebasan vokalis mereka.
TINA TALISA, seorang wartawan penyiaran popular Indonesia pada Isnin lalu mengasak Ariel Peterpan mengenai populariti bekas banduan itu yang hampir menyamai fenomena superstar Michael Jackson. Pertanyaan Tina itu merujuk kepada bahang populariti Ariel ketika ini yang dinilai media massa Indonesia berada di puncak tertinggi. Semuanya gara-gara Ariel dibebaskan secara bersyarat selepas dibelenggu kontroversi panjang berhubung skandal video pornografi. Ariel berkali-kali menafikan bahawa dia merupakan lelaki yang berasmara dengan dua artis wanita ternama Indonesia, Luna Maya dan Cut Tari. Namun, pemahaman dan penilaian masyarakat Indonesia khususnya individu yang pernah menonton video lucah itu dengan pantas mendakwa, Ariel merupakan lelaki dalam klip yang tersebar luas di internet pada Jun 2010. Ariel pada sidang media itu tenang memberikan reaksi berhubung persamaan yang disebut Tina mengenai popularitinya seperti yang dilalui Michael Jackson. Tentu sekali Ariel atau nama sebenarnya, Nazriel Irham sukar menterjemahkan betapa emosinya benar-benar terganggu selama 24 bulan menghuni tiri besi. Kata Ariel, dia tidak pernah terfikir akan menjadi selebriti terpenjara. Bahkan, Ariel sendiri mengaku, amat terkejut kerana berita penahanannya mendapat liputan meluas media sehingga ke luar negara. "Saya pernah berbincang tentang perkara ini dengan teman-teman Peterpan. Mereka juga tidak sangka dengan apa yang berlaku, terpalit dalam isu ini juga tidak disangka. "Apa yang boleh saya katakan ialah, selama dalam tahanan saya benar-benar menemui siapa itu teman sejati," kata Ariel sambil mengakui hubungannya dengan anggota Peterpan yang lain sangat akrab seperti saudara sekalipun ketika beliau berstatus banduan. Terus dipuja Sebaik pembebasan Ariel daripada penjara Kebon Waru, Bandung Isnin lalu, media massa Indonesia memberikan liputan luar biasa. Tentu sekali, inilah saat terbaik untuk semua stesen televisyen negara ini menyiarkan laporan panjang lebar mengenai Ariel kerana beliau ialah sumber berita yang boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda. Seluruh rakyat Indonesia mahu melihat wajah terbaharu Ariel selepas sekian lama hidup sebagai banduan. Laporan secara langsung dari lokasi pembebasan Ariel dilakukan oleh kebanyakan stesen televisyen utama. Puluhan wartawan dan jurugambar memenuhi pintu masuk penjara serta di bilik sidang akhbar di sebuah hotel di Bandung. Peminat berpusu-pusu memenuhi pintu masuk penjara berkenaan semata-mata untuk menyambut pembebasan seniman pujaan mereka. Jangan tidak tahu, terdapat sejumlah peminat setia Ariel yang sanggup berkampung di luar pintu masuk penjara untuk memastikan mereka boleh menatap wajah lelaki berusia 31 tahun itu. Ada yang datang sejauh Cianjur (Jawa Barat), Purbalingga, Brebes (Jawa Tengah) serta daerah-daerah lain dengan mengenakan baju-T berlogo Peterpan. Bahkan ada seorang peminat setia Ariel yang sanggup menggadaikan geran motosikalnya semata-mata mahu mendapatkan wang untuk ke Bandung. Ramai yang mempersoalkan kewajaran Ariel diberi liputan meluas di sebalik namanya yang dalam tergores akibat salah laku berkaitan pornografi. Kerana itu, kontroversi Ariel dilihat masih belum bernoktah sementelah pada hari pembebasannya ramai pihak di Indonesia yang mengeluh, mengapa dia diangkat sebagai hero. Suruhanjaya Perlindungan Anak menganggap pembebasan Ariel tidak wajar diberi publisiti. "Dia bukan ikon yang wajar diangkat, jauh sekali seorang pahlawan. Ariel itu lelaki yang melakukan kesalahan seks," bidas ketua suruhanjaya itu, Arist Merdeka Sirait. Itu baru kisah pembebasan bersyarat Ariel yang membuatkan ada pihak yang rimas dan kurang senang. Selepas ini, kontroversi skandal penerbitan video lucah berkenaan dijangka akan kembali hangat apabila pihak berkuasa Indonesia menjangka, Luna Maya dan Cut Tari pula akan dibawa ke muka pengadilan. Kontroversi itu dijangka berlanjutan lebih lama lagi manakala media tidak akan melepaskan peluang memberi publisiti pada kisah hangat yang boleh melariskan jualan dan meningkatkan rating. Biar apa tafsiran masyarakat sekalipun, Ariel hanya mampu memanjatkan kesyukuran kerana dibebaskan daripada penjara pada bulan penuh kemuliaan, Ramadan. Ariel menganggap pembebasan itu merupakan hikmah yang amat besar buatnya selepas menggalas status sebagai banduan selama dua tahun. "Apa yang tidak kamu sukai belum tentu tidak bagus. Dalam kesulitan ini (hidup dalam tahanan) saya menemui banyak perkara yang positif dalam hidup," luah Ariel yang turut ditemani rakan-rakan Peterpan pada sidang akhbar itu. Ariel yang tergamam dengan reaksi luar biasa media tempatan dan peminat-peminatnya hanya mampu berterima kasih kerana masih ada yang menyayanginya. Dalam masa terdekat ini, Ariel mahu mengisi ruang yang ada untuk menenangkan fikiran. Beliau merayu, agar tidak diganggu buat sementara waktu. "Saya mahu berehat dan menenangkan fikiran. Saya mahu tenang-tenang dulu. Di mana saya pergi jangan ditanya. Mohon juga jangan dicari saya di rumah orang tua saya," katanya meminta pengertian. Selepas kembali daripada tempoh berehat, Ariel akan kembali aktif berkarya bersama kumpulannya, Peterpan. akak tengok makin popular pulak dia nie......lebih hebat lagi drpd waktu dia masih dlm peterpan......
|