Puluhan lagi cedera, ramai yang terperangkap meminta bantuan

Gambar serahan Prensa Servicio 911 menunjukkan pemandangan dari udara kelab malam Jet Set di Santo Domingo selepas bumbungnya runtuh semalam. — Gambar AFP
SANTO DOMINGO: Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh apabila bumbung sebuah kelab malam di Republik Dominica runtuh pada awal pagi semalam, kata perkhidmatan kecemasan, dengan operasi menyelamat masih dijalankan.
Bumbung kelab malam Jet Set di ibu negara Caribbean, Santo Domingo, runtuh semasa persembahan penyanyi merengue terkenal Rubby Perez, yang turut terperangkap dalam runtuhan.
“Malangnya, kami mempunyai 15 kematian setakat ini... kami berharap dapat menemui lebih ramai orang yang masih hidup,” Juan Manuel Mendez, pengarah Pusat Operasi Kecemasan (COE), memberitahu akhbar.
Mendez tidak memberikan butiran mengenai jumlah yang cedera, yang dilaporkan media tempatan termasuk berpuluh-puluh orang.
“Selagi masih ada harapan untuk hidup, semua pihak berkuasa akan berusaha untuk memulihkan atau menyelamatkan mereka ini,” katanya.
Tambahnya, terdapat orang yang terperangkap dalam runtuhan meminta bantuan.
Anggota penyelamat membawa keluar mayat dari kelab malam Jet Set di Santo Domingo selepas bumbungnya runtuh kelmarin. — Gambar AFP
Lebih 370 anggota penyelamat sedang berusaha mencari mangsa.
Pihak berkuasa belum melaporkan anggaran jumlah orang yang berada di kelab malam itu, yang menurut media tempatan mengadakan konsert atau pesta setiap malam Isnin.
Presiden Luis Abinader berkata menerusi X bahawa kerajaan telah “mengikuti kes itu sepanjang masa sejak ia berlaku.”
“Semua agensi penyelamat telah memberikan bantuan yang diperlukan dan bekerja tanpa jemu dalam usaha menyelamat. Doa kami bersama keluarga yang terjejas,” tambahnya.
|