CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 20271|Reply: 0

Hamas bebaskan 3 tebusan Israel dalam pertukaran terbaharu di Gaza

[Copy link]
Post time 8-2-2025 10:15 AM | Show all posts |Read mode

Gambar tebusan dipamerkan pada hari perhimpunan menuntut pembebasan semua tebusan yang ditahan di Gaza sejak tragedi berdarah 7 Oktober, di Tel Aviv, Israel. - Foto REUTERS

BAITULMAQDIS: Pejuang Hamas mengumumkan akan membebaskan tiga rakyat Israel hari ini dalam pertukaran tahanan-tebusan kelima dengan Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata di Gaza, dengan 183 tahanan Palestin dibebaskan dari penjara Israel.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa selepas pertukaran itu selesai, delegasi Israel akan berlepas ke Doha untuk rundingan lanjut mengenai gencatan senjata.

Pertukaran terbaharu itu berlaku di tengah-tengah kritikan terhadap cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk mengambil alih Gaza dengan memindahkan penduduk Palestin dari situ, yang turut mencetuskan kemarahan di seluruh rantau dan dunia.

Pelan itu mencadangkan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza serta meletakkan wilayah pantai yang musnah akibat peperangan itu di bawah kawalan AS.

Selepas pengumuman awalnya, Israel bertindak mengarahkan tenteranya untuk bersiap sedia bagi pemindahan sukarela penduduk Gaza, manakala Hamas menolak cadangan Trump sebagai tidak boleh diterima sama sekali.

Menurut Hamas, tiga lelaki yang akan dibebaskan itu adalah Eli Sharabi, Or Levy serta Ohad Ben Ami dan senarai nama berkenaan turut disahkan oleh pejabat Netanyahu.

Kumpulan advokasi Kelab Banduan Palestin memaklumkan bahawa Israel akan membebaskan 183 tahanan Palestin dalam pertukaran itu dan 111 daripadanya adalah warga Gaza yang ditahan sejak perang Palestin-Israel tercetus 7 Oktober 2023.

Setakat ini, Israel dan Hamas sudah menyelesaikan empat pertukaran di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata.

Hamas juga sudah membebaskan 18 tebusan sebagai pertukaran untuk kira-kira 600 tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, 13 tebusan Israel atau pemegang dua kewarganegaraan sudah dibebaskan, bersama lima tebusan warga Thailand yang dilepaskan di luar perjanjian fasa pertama.

Secara keseluruhan, 33 tebusan, termasuk lapan yang menurut Israel sudah meninggal dunia, dijangka dibebaskan dalam tempoh 42 hari pertama perjanjian itu sebagai pertukaran untuk kira-kira 1,900 tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel.

Nasib dua kanak-kanak yang masih ditahan di Gaza, Kfir Bibas dan abangnya Ariel serta ibu mereka, Shiri, masih belum diketahui. - AFP


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-2-2026 06:26 AM GMT+8 , Processed in 1.048546 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list