NOORUDIN Yang (dua kiri) yang membawa 35 jemaahnya dari Hong Kong meluangkan masa melawat Muzium Negeri Sembilan. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Tertarik dengan kemesraan masyarakat Islam dan kepelbagaian kaum di negara ini pada lawatan pertamanya, seorang imam dari Hong Kong sekali lagi mengunjungi Malaysia dengan membawa 35 jemaahnya.
Noorudin Yang, 57, berkata, lawatan pertamanya ke Malaysia pada Mac lalu bukan sahaja memberi pengalaman dengan masyarakat Islam malah turut mempunyai hubungan baik dengan kaum Cina bukan Islam.
"Selepas pulang ke Hong Kong saya masih berhubung dengan pihak pelancongan Malaysia menerusi Hong Kong Islamic Youth Associations (HKIYA). Mereka menggalakkan kami untuk melancong ke Malaysia.
"Bagi saya, Malaysia sebuah negara yang baik untuk pertukaran maklumat, ilmu dan budaya memandang penduduk Islam adalah majoriti di sini, selain masyarakat Cinanya yang mesra," katanya ketika ditemui di Muzium Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Lam Chun Wai John, 25, berkata, mereka meluangkan masa selama seminggu di negara ini dan akan ke beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.
"Perjalanan kali ini bukan sahaja untuk melawat kawasan tumpuan pelancongan, malah kami turut dibawa ke lokasi yang mempamerkan budaya dan adat masyarakat Malaysia seperti muzium ini.
"Ini kali pertama saya datang ke Malaysia dan berpendapat negara ini berbaloi untuk dikunjungi kerana budayanya yang pelbagai. Ada Melayu, Cina dan India, malah ada juga Cina Muslim," katanya.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nicole Tan Lee Koon berkata, negara China termasuk Hong Kong dan Macau mempunyai lebih ramai masyarakat Cina beragama Islam berbanding Malaysia.
"Di setiap wilayah mereka mempunyai masjid dan imam. Setiap imam mempunyai sekurang- kurangnya 35,000 jemaah. Jadi kerjasama dengan komuniti ini dalam sektor pelancongan sangat penting.
"Saya pernah berjumpa dengan Imam Noorudin sebelum ini dan menggalakkan mereka untuk melancong ke Malaysia. Ternyata hubungan ini berkesan kerana dia sekali lagi ke negara ini dengan membawa jemaahnya," katanya.
|