PETALING JAYA – Penyanyi popular Justin Bieber mencipta rekodnya sendiri apabila menerima bayaran sebanyak RM47 juta untuk sebuah pesta pra perkahwinan anak kepada lelaki terkaya di Asia, Mukesh Ambani iaitu Anant Ambani dan Radhika Merchant semalam.
Memetik laporan Times Of India, penyanyi asal Kanada itu diterbangkan khas ke India dan dikawal ketat dari lapangan terbang sehingga waktu berangkat pulang.
Bayaran mewah yang diterima Bieber sekali gus menewaskan jumlah diterima penyanyi Rihanna pada majlis praperkahwinan Anant dan Radhika pada Mac lalu iaitu sebanyak RM38 juta.
Pada majlis yang diibaratkan seperti konsert tersebut, suami kepada model, Hailey Bieber itu mendendangkan lagu-lagu hitnya termasuk Baby, Where Are U Now, All That Matters, Cold Water dan Peaches.
Acara turut diserikan dengan penampilan bintang Bollywood seperti Alia Bhatt, Ranveer Singh dan Salman Khan. Difahamkan, Anant dan Radhika dilaporkan akan melangsungkan perkahwinan mereka pada 12 Julai depan.