KETUA Polis Johor, Komisioner M Kumar. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Johor Bahru : Polis Johor menjalankan siasatan terhadap pengendali atau pemilik akaun media sosial, Facebook Kelab Penyokong Pas Malaysia yang mengaitkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah terhadap individu dipercayai Mohamad Zamri Zainul Abidin.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata ia susulan laporan polis yang dibuat terhadap hantaran terbabit di Balai Polis Penawar, Kota Tinggi pada 4.05 petang semalam.
"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seskyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kes masih di peringkat siasatan, orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform itu dengan menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua keadaan, sama ada membuat hantaran, menularkan, berkongsi maklumat berbaur hasutan, fitnah atau palsu sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kenyataan itu adalah fitnah terhadap Tunku Mahkota Ismail kononnya baginda terbabit rasuah RM20 juta adalah hasutan jahat dalam cubaan menjatuhkan institusi diraja.
Malah katanya dakwaan fitnah tular di aplikasi WhatsApp itu adalah sikap yang tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar.
Fitnah itu antara lain menuduh Tunku Mahkota Ismail terbabit kes rasuah membabitkan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin.
Disiarkan pada: Jun 30, 2024 @ 8:47am
|