|
Seorang penuntut IPTA ditemui lemas selepas mandi di kolam ternakan ikan di Campsite Agro Farm Aminah Rahmat, Jalan Mahang, Felda Chempelak, Labis, Segamat.
SEGAMAT – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah ini ditemui mati lemas di Campsite Agro Farm Aminah Rahmat, Jalan Mahang, Felda Chemplak, Labis, di sini pagi hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, pihak polis menerima maklumat berkaitan satu kejadian lemas melibatkan seorang remaja lelaki tempatan pada pukul 11.12 pagi.
“Mangsa sampai di tapak perkhemahan tersebut bersama 16 orang lagi rakan sekuliah pada pukul 6 petang hari sebelumnya untuk menyiapkan tugasan Pemasaran Digital di kawasan rekreasi dengan mempromosikan lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, mangsa yang sepatutnya keluar dari lokasi kejadian pada pukul 9 pagi ini bertindak mandi di sebuah kolam yang dijadikan kolam ternakan ikan oleh pemilik tapak perkhemahan bersama empat orang lagi rakan pada pukul 10.30 pagi.
Ujarnya, mangsa kemudian disedari lemas dan tenggelam oleh rakan-rakannya 30 minit kemudian namun berjaya dijumpai semula selepas 15 minit kemudian.
“Pasukan penyelamat telah cuba memberi bantuan pernafasan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 11.40 pagi oleh Penolong Pengawai Perubatan Klinik Kesihatan Labis yang turut
bertindak ke lokasi.
“Mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Segamat untuk bedah siasat. Pihak polis akan meneruskan siasatan kejadian lemas tersebut melalui Siasatan Kematian Mengejut (SDR),” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/06 ... -lemas-mandi-kolam/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|