View: 4143|Reply: 0
|
[Johor]
Bomoh dipenjara 35 tahun, mengaku salah cabul, rogol pesakit
[Copy link]
|
|
Zemi dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah merogol remaja perempuan yang mahu mendapatkan rawatan membuang sihir. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
MUAR: "Kasihan mangsa, dia datang nak berubat untuk penyakit dihadapinya, tapi kamu (tertuduh) buat seperti itu (cabul dan rogol).
"Apa perasaan kamu jika benda ini berlaku ke atas anak perempuan kamu?. Kalau di dunia kita boleh terlepas, tetapi tidak di akhirat."
Demikian kata Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang bomoh selepas mengaku bersalah hari ini.
Tertuduh, Zemi Ibrahim, 51, didakwa melakukan amang seksual dan merogol seorang remaja perempuan dalam tandas rumah mangsa di Pagoh sejak 2022 ketika mangsa ingin mendapatkan rawatan membuang sihir.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang juga tukang rumah serta jurulatih Muay Thai sehingga menyebabkan mangsa hamil 14 minggu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 14 tahun ketika itu dalam tandas sebuah rumah di Pagoh, pada November 2022.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 akta sama. Hukuman bagi seksyen itu adalah penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa sejak April hingga Julai tahun lalu, dengan kejadian berlaku di tempat sama.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan fakta kes, keluarga mangsa mengenali tertuduh melalui bapa saudaranya yang dikatakan mampu merawat sihir.
Tertuduh kemudian ke rumah mangsa dan meminta merawatnya serta arwah bapanya yang turut dikatakan terkena sihir.
Ketika itu, mangsa diarahkan memasuki bilik air yang terletak di luar rumah dengan tujuan untuk mandi air jampi yang mengandungi bunga, limau purut dan sebagainya.
Bagaimanapun, ketika merawat, tertuduh mengambil kesempatan melakukan amang seksual sebelum merogolnya, dengan perbuatan itu berlarutan sehingga Julai tahun lalu.
Mangsa mengetahui dia dirogol selepas mendengar sesi ceramah jenayah seksual di sekolah pada September tahun lalu, sebelum membuat laporan kejadian pada 27 Oktober.
Pada masa sama, tertuduh disahkan hamil selepas tidak datang bulan sejak Ogos 2023, malah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas kandungan mangsa berpadanan sampel diambil daripada tertuduh.
Tertuduh sebelum ini berhadapan empat pertuduhan amang seksual seorang remaja berusia 16 tahun, namun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi perrtuduhan pertama, manakala pertuduhan kedua hingga keempat, masing-masing 10 tahun serta tiga sebatan.
Semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 16 Oktober 2023.
Tertuduh turut diarahkan menjalani sesi kaunseling sepanjang menjalani hukuman serta pengawasan polis selama dua tahun, selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.
https://www.bharian.com.my/berit ... cabul-rogol-pesakit |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|