|
OHD Salleh Wasik (berdiri dua dari kanan) dan isteri, Wan Zuraini Wan Zulkifli (dua dari kiri) bersama lima anak mereka ketika menziarahi keluarga angkat mereka di Tochigi Ken, Jepun pada 11 April lalu. FOTO Ihsan Mohd Salleh Wasik
Seremban: Niat asalnya ke Jepun adalah untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama namun tidak menyangka ia menjadi titik permulaan untuk memiliki keluarga angkat di negara matahari terbit itu.
Menariknya, sudah 18 tahun hubungan antara Mohd Salleh Wasik, 44, dengan keluarga angkatnya dan masih berhubung sehingga kini untuk bertanya khabar antara satu sama lain.
Walaupun tiada pertalian darah antara mereka, Mohd Salleh atau nama panggilannya, Sare Sensei mengakui sudah menganggap ibu angkatnya, Haruyama Hisae, 78, dan bapa angkatnya, Haruyama Yoshinobu, 84, yang menetap di Mamada, Tochigi ken, Jepun seperti keluarga sendiri.
Keakraban itu dapat dilihat menerusi perkongsian dimuat naik Mohd Salleh di TikTok sebelum ini iaitu video beliau sekeluarga berhari raya bersama keluarga angkatnya, menziarahi jiran lamanya dan doktor yang memantau perkembangan isterinya ketika hamil hingga kelahiran anak sulung di Jepun.
Bercerita lanjut, Mohd Salleh yang bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Ketua Unit Praktikum Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, perkenalan dengan keluarga angkatnya itu bermula pada 2006 ketika dia mengikuti kursus persediaan pengajian di Tokyo.
"Ketika itu, ada iklan program hos keluarga di Tochigi-ken iaitu tempat musim panas selama lebih kurang dua minggu dan menariknya ia percuma.
"Jadi, saya cuba turut serta kerana teringin nak tengok rumah di Jepun dan bagaimana kehidupan mereka selain mempraktikkan bahasa negara itu dengan penutur asal.
"Alhamdulillah,,.saya terpilih bersama rakan dari lain dengan seorang pelajar akan tinggal bersama satu keluarga angkat selama dua minggu.
"Sejak itu, hubungan saya dan keluarga angkat jadi semakin rapat. Setiap kali ada cuti, saya akan ziarah mereka malah kerap juga hubungi untuk bertanya khabar dan mereka sentiasa sokong saya serta pernah datang ke Malaysia waktu saya pulang ke tanah air untuk cuti musim panas," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mohd Salleh berkata, terlalu banyak kenangan bersama keluarga angkatnya dan antara tidak dapat dilupakan apabila mereka membawanya bersama isteri, Wan Zuraini Wan Zulkifli, 43, bercuti di Nikko.
Katanya, Nikko adalah aantara tempat yang cantik di Jepun dan ibu bapa angkatnya membawanya bersama isteri sempena perkahwinan mereka pada November 2006.
"Selain itu, ibu bapa angkat saya pernah bawa bercuti ke Fukushima sebelum saya pulang ke Malaysia sebaik tamat pengajian.
"Jadi, dapatlah saya rasai pengalaman pertama berjalan atas tasik beku.
"Tapi selain keluarga angkat, saya juga rapat dengan jiran di Jepun, malah saya dan isteri sering dijemput ke rumah mereka.
"Mereka juga datang ke majlis graduasi dan raikan kejayaan saya di restoran sushi kerana isteri dan anak sudah pulang awal Malaysia.
"Anak sulung saya lahir di Jepun dan waktu isteri bersalin, jiran di Jepun dan kakitangan bersama majikan ada ziarah di hospital...terharu sangat kerana mereka ada waktu saya berjauhan dengan keluarga dan perlu buat semua sendiri," katanya yang pernah menjadi guru bahasa Jepun di Kolej Tunku Kursiah (TKC) Seremban, Negeri Sembilan.
Bapa kepada lima anak itu berkata, selain keluarga angkat, dia tidak mungkin akan fasih bertutur dalam bahasa Jepun seperti sekarang tanpa pengalamannya bekerja di kedai konbini (kedai serbaneka) dan pasar raya di sana.
Berhubung perkongsiannya yang mendapat perhatian di TikTok, Mohd Salleh akui tidak menyangka sambutan diterima amat baik hingga bilangan pengikutnya meningkat hampir 8,000 dalam masa empat hari dan kini melebihi 40,000.
"Saya nampak masyarakat kita suka didedahkan dengan pengalaman dan budaya negara seperti Jepun.
"Jadi, saya akan banyakkan lagi perkongsian amalan baik budaya Jepun dan gunakan TikTok dan medium lain seperti Youtube untuk mendidik masyarakat.
"Saya ada anjurkan kursus secara percuma di TikTok sebelum ini sebanyak 24 siri dengan setiap sesi selama dua jam membabitkan perkongsian asas bahasa dan budaya Jepun.
"Semua rakaman 24 siri itu sudah dimuat naik di Youtube (Sare Sensei Channel)," katanya yang memiliki Ijazah Pertama (Kepujian) Bahasa dan Sastera Jepun lulusan Bunkyo University, Jepun dan Sarjana Bahasa Jepun lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
"Kini saya dalam proses menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) Linguistik Bandingan Terapan (Bahasa Jepun) di universiti sama," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... nobu-tidak-terputus |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|