Kota Bharu: Suspek lelaki yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pagi kelmarin menginap di hotel di sini dengan menggunakan identiti individu lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata helah berkenaan menyebabkan kehadiran suspek tidak dapat dikesan di hotel terbabit.
Katanya, antara barangan yang dirampas termasuk empat kad pengenalan individu lain dan salah satunya digunakan untuk pendaftaran bagi menginap di hotel.
"Hasil siasatan juga mendapati suspek tiba di Kelantan petang kelmarin selepas Zohor. Selepas kejadian, suspek tidak berjumpa dengan sesiapa dan terus menuju ke Kelantan sebelum menginap di sebuah hotel.
"Sebab itu kita percaya suspek bergerak sendirian tanpa dibantu oleh individu lain. Kereta yang digunakan suspek juga masih sama iaitu Honda Civic, namun suspek menukar nombor plat bagi mengelak pergerakannya dikesan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pistol yang digunakan suspek juga dipercayai diperoleh secara haram dari negara jiran.
"Namun, bagaimana kaedah kemasukan pistol berkenaan juga masih dalam siasatan. Pistol yang digunakan suspek adalah jenis Glock 19 Austria.
Terdahulu, media melaporkan, polis mengesahkan Hafizul Hawari, 38, sudah ditahan di Kota Bharu, Kelantan.
Pada masa sama, Mohd Shuhaily turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pasukan yang terbabit dalam menyelesaikan kes berkenaan.
"Syukur kes ini selesai dengan aman selain tiada pihak yang cedera. Saya berterima kasih kepada semua termasuk Ketua Polis Negeri yang terbabit dengan kawasan sempadan," katanya.