Norizan menunjukkan topi keledar yang tidak selamat semasa menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Sibu sempena Tahun Baharu Cina di Sibu, hari ini.
SIBU: Penunggang motosikal dinasihatii agar menggunakan topi keledar yang diluluskan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) demi keselamatan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili berkata, topi keledar jenis separuh tidak mengikut piawaian keselamatan.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Sibu sempena Tahun Baharu Cina di stesen Petronas di Jalan Lanang Barat di sini, hari ini yang telah dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang.
"Tadi (pada majlis itu) kita lihat ada penggunaan topi keledar separuh (dibawa masuk untuk ditukar dengan yang baharu) tidak mengikut spesifikasi.
"Oleh itu, kami berharap mereka yang masih menggunakan topi keledar tidak mengikut piawaian keselamatan, apabila membeli topi keledar baharu, sila beli yang mempunyai kelulusan Sirim demi keselamatan," kata Norizan.
Sementara itu, tegasnya, anggota penguat kuasa JPJ sentiasa turun padang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
"Kami menjalankan operasi seperti itu semasa perayaan seperti Tahun Baharu Cina.
"Penguatkuasaan kami sentiasa bergerak, bukan untuk mengeluarkan saman tetapi untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya," katanya.
Sehubungan itu, pemeriksaan ke atas bas ekspres telah dijalankan di sini.
"Pemeriksaan ini dilakukan setiap kali musim perayaan bagi memastikan setiap bas berada dalam keadaan selamat untuk digunakan," tambahnya.
|