CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7276|Reply: 0

[Pahang] Ulu Tembeling ditenggelami banjir susulan hujan lebat sejak petang semalam

[Copy link]
Post time 24-12-2023 01:11 PM | Show all posts |Read mode
Ulu Tembeling ditenggelami banjir susulan hujan lebat sejak petang semalam


Oleh Roselan Ab Malek - Disember 24, 2023 @ 11:49am  [email protected]




Keadaan kedai milik penduduk yang kini terapung selepas kawasan tepi Sungai Tembeling ditenggelami banjir pagi ini.




JERANTUT: Kawasan sepanjang Sungai Tembeling dekat Kampung Bantal, Mukim Ulu Tembeling di sini, mula ditenggelami banjir pagi ini, berikutan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

Malah siren amaran turut dibunyikan kira-kira jam 10.30 malam tadi, menyebabkan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai itu mula mengemas barang masing masing.

Hujan menyaksikan paras air sungai melimpah masuk ke kawasan kampung sedalam hampir dua meter menenggelamkan bumbung tempat menunggu bot di jeti serta memasuki ruang kedai makan dan kedai runcit.

Penduduk, Japrun Ali, 64, berkata limpahan air yang berlaku di sepanjang aliran sungai itu menenggelamkan kawasan padang bola dan deretan kedai runcit, kedai makan dan chalet milik penduduk.

"Bagaimanapun kebanyakan kedai yang terletak di kawasan dataran Sungai Tembeling di kampung itu sudah dipasang dengan tong plastik agar barang dalam kedai terapung ketika banjir sebelum ia ditambat pada pokok besar.

"Hujan di kawasan hulu sejak petang semalam berterusan hingga pagi ini, menyebabkan air memenuhi kawasan dataran sedalam kira-kira tiga meter sehingga papan tanda 'Selamat datang ke Kampung Bantal' tidak lagi kelihatan di situ," katanya.

Beliau berkata, setakat ini belum ada pemindahan penduduk dibuat kerana kebanyakan peniaga di situ memiliki kediaman lain di tempat yang lebih tinggi.

"Paras air naik mendadak awal malam tadi diikuti siren amaran dibunyikan pada jam 10.30 malam, menandakan banjir mula melanda dan ia akan turut memberi kesan kepada penduduk di kawasan hilir sungai khususnya di kawasan pelancongan Kuala Tahan," katanya.

Penduduk, Zaimi Abdullah, 50, berkata fenomena banjir kali kedua tahun ini tidak mengejutkan mereka kerana dua minggu lalu air turut naik tetapi tidak lama.

"Kami tidak menolak banjir berulang semula memandangkan cuaca tidak menentu lebih lagi baharu sahaja berlaku angin monsun luruan dan hujan kerap turun sehingga ini.

"Cuma kami bimbang keselamatan penduduk yang menggunakan perahu sebagai perhubungan kerana arus Sungai Tembeling semakin deras dan menghanyutkan kayu reput dan dahan pokok yang tumbang yang membahayakan penduduk tinggal di sepanjang sungai itu," katanya.

Sementara itu, portal rasmi banjir Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melaporkan, paras air Sungai Tembeling di Kuala Tahan Kampung Bantal setinggi 65.47 meter pada jam 8.30 pagi tadi, melepasi paras waspada dan menghampiri paras amaran, 66 meter.

Portal itu juga memaklumkan keadaan paras air Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub juga mencatatkan paras kenaikan, iaitu 133.63 meter pada pukul 8.30 pagi hari ini, menghampiri paras amaran 134.16 meter.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 02:55 PM GMT+8 , Processed in 0.281548 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list