|
TANGKAP layar video tular Tengku Amirul Aidil Tengku Iskandar solat di tapak pembinaan.FOTO Ihsan Tengku Amirul Aidil Tengku Iskandar
Tanah Merah: "Bukan niat saya nak menunjuk. Cuma sekadar nak berkongsi ( bahawa) solat itu boleh dibuat di mana-mana saja," ujar pemandu jentolak, Tengku Amirul Aidil Tengku Iskandar, 25.
Dia sebelum ini kerap berkongsi rutin kerjanya menerusi perkongsian video di TikTok.
Bagaimanapun, salah satu video dimuat naiknya mendapat perhatian netizen kerana menunjukkan dia sedang solat di tapak pembinaan.
Bercerita lanjut, bapa dua anak berumur dua dan lima tahun itu berkata, dia memang gemar merakam video di tempat kerja sebelum memuat naik di laman sosial jika berkesempatan.
"Kalau lihat di TikTok, kebanyakan video yang saya muat naik diambil di tapak pembinaan iaitu tempat saya cari makan.
"Saya rakam pun secara rawak. Cuma pada satu hari tergerak nak rakam video solat di tapak pembinaan kerana ketika itu, saya bekerja di kawasan yang jauh dari surau atau masjid.
"Saya pula tak ada motosikal. Jika mahu keluar dari situ ( kawasan pembinaan) jaraknya lima kilometer (km). Jadi mahu atau tidak, saya perlu solat di situ.
"Tak sangka pula ia meraih tontonan tinggi namun tiada komen negatif. Semuanya positif dan tujuannya bukan nak menunjuk amal ibadat dilakukan. Saya yakin semua umat Islam pun tahu solat itu wajib," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berkongsi kisahnya, dia sebelum ini dapat peluang kerja sebagai pembantu restoran di Singapura namun berhenti dan pulang ke kampung untuk kembali menjadi pemandu jentolak.
"Ikutkan upah kerja hanya RM90 sehari namun sudah ditetapkan rezeki saya di sini. Jadi saya bertahan saja walaupun memang ada segelintir yang memandang rendah kerja saya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... t-nak-menunjuk-alim |
|