|
NOR AZRINA membersihkan anaknya, Nur Irsalina yang terlantar akibat masalah urat saraf di rumahnya di Taman Semarak 2, Nilai, Seremban.
SEREMBAN – Sepasang suami isteri tabah menempuh ujian apabila tiga anak mereka berusia tujuh hingga 13 tahun merupakan anak orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan penjagaan setiap masa.
Nor Azrina Natalia Abdullah 45, berkata, dia dikurniakan enam zuriat dengan tiga daripadanya merupakan OKU masalah urat saraf, pembelajaran dan sindrom Down.
Menurutnya, anak ketiga, Nur Irsalina Salwani Mohd. Asri, 13, sebelum ini dilahirkan normal, namun segalanya berubah setelah dia terjatuh selepas beberapa hari dilahirkan.
“Sejak itu, Nur Irsalina terlantar kerana masalah urat saraf. Pada usia 13 tahun, anak saya hanya terbaring kaku di atas tilam dan merengek apabila lapar.
“Segala keperluan Nur Irsalina dibuat bersama suami, Mohd. Asri Mohammad, 43, termasuk menukar lampin pakai buang, mandi atau mengelap badannya pada setiap hari,” katanya.
Tambahnya, anak keempat, Mohammad Basyirun Safiuddin mengalami masalah pembelajaran, manakala anak bongsu, Nur Syazwana Dawiah merupakan OKU sindrom Down.
Suri rumah itu berkata, Nur Irsalina menerima bantuan daripada Baitumal setiap bulan dan pihak lain sekali gus meringankan beban ditanggung.
“Saya gunakan bantuan itu untuk membeli keperluan Nur Irsalina dan adik-adiknya, namun ada kalanya ia tidak mencukupi.
“Nur Irsalina bergantung kepada susu khas dan minum enam kali sehari. Kadang-kadang saya terpaksa membancuh susunya cair sedikit untuk jimat,” ujarnya.
Nor Azrina memberitahu, anak-anak adalah nyawanya dan selagi hidup dia akan memastikan kebajikan mereka dijaga selain tidak pernah lelah menguruskan ketiga-tiga anak istimewanya itu.
“Suami bekerja sebagai tukang urut dengan pendapatan tidak menentu, manakala anak-anak lain masih lagi kecil dengan paling tua berusia 17 tahun,” katanya.
Sehubungan itu, pihak yang ingin membantu boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0510529000214172 (Nor Azrina Natalia Abdullah).
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... -inilah-nyawa-saya/ |
|