|
Keadaan banjir lumpur yang berlaku di beberapa buah kampung di kawasan Masai, Pasir Gudang, Jumaat lalu.
JOHOR BAHRU – Setiap kali hujan lebat turun berlarutan selama sejam, 100 keluarga di Kampung Masjid, Kampung Sepakat, Kampung Desa Bakti dan sekitar pekan Masai, Pasir Gudang mula cemas untuk menyelamatkan barang berharga.
Penduduk Kampung Masjid, Yazid Darus, 45, keadaan itu akan menyebabkan air Sungai Masai berhampiran rumah akan melimpah dan lebih buruk membawa air tanah dari kawasan projek perumahan berhampiran menjadi banjir lumpur.
Pengusaha Pusat Pengajian Al-Quran Al Thoifury di pekan itu berkata, insiden terbaru yang dihadapi mereka adalah pada Jumaat lalu setelah banjir kilat itu naik hampir satu meter.
“Dalam kejadian itu, pelbagai peralatan elektrik rosak dan tak dapat diselamatkan seperti kipas, peti ais, blower dan permaidani dan menyebabkan kerugian kira-kira RM3,000.
“Pada tahun ini sahaja, sudah dua kali banjir lumpur ini berlaku. Pusat pengajian tidak terkecuali dinaiki air, bagaimanapun kitab-kitab al-Quran dapat diselamatkan,” katanya.
Yazid yang juga Imam di Masjid Al Muhajirin Masai berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang meninjau Sungai Masai kelmarin.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, punca air banjir yang kotor itu datang dari kawasan tasik berdekatan melalui kawasan projek pembinaan tersebut sebelum mengalirkan air lumpur ke Sungai Masai.
Bagi penduduk Kampung Masjid, Ismail Talib, 53, berkata, Sungai Masai yang tidak begitu lebar itu tidak dapat menampung kapasiti air yang besar mengakibatkan banjir kilat sehingga merosakkan rumah dan menenggelamkan kereta penduduk walaupun sudah dialihkan ke tempat tinggi.
“Guni-guni berisi pasir yang menjadi tebatan banjir di sepanjang tebing sungai semuanya sudah tidak ada akibat tanah runtuh selain dibawa arus deras. Sudah tiga kali guni-guni ini diletakkan dalam tempoh 10 tahun, sudah tiba masanya perlu dibina tembok,” katanya.
Katanya, keadaan akan bertambah teruk apabila berlaku air pasang kerana Sungai Masai tidak dapat mengalir ke bahagian kuala sebelum masuk ke laut selain menyebabkan berlaku masalah sampah tersumbat.
“Masalah sampah sarap, tilam dan perabot dibuang penduduk ke dalam sungai pun satu hal juga, ini kerana tiada disediakan tong sampah dan perkhidmatan kutip sampah sepertimana di kawasan berdekatan,” katanya.
Bagi A. Rahman Bujang, 60, berkata, penduduk mahu pihak berwajib segera mendalamkan Sungai Masai yang semakin cetek serta membina projek tebatan banjir baharu bagi mengelak mangsa banjir terus menanggung kerugian.
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... jadi-banjir-lumpur/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|