|
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail (tengah, baju biru) menyempurnakan perasmian Telaga Air Akuifer Batuan di Hutan Rekreasi UTM, Skudai, Johor Bahru, hari ini. - Foto NSTP/Izz Laily Hussein
JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, menjadi institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di negara ini membangunkan telaga air akuifer batuan sendiri sebagai sumber alternatif bekalan air bersih.
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata
punca air jernih dan bersih berkenaan ditemui di hutan rekreasi universiti itu sejak 2021.
Katanya, penemuan hebat penyelidik UTM itu bakal memberikan manfaat kepada warga universiti berkenaan bukan saja sebagai sumber alternatif bekalan air bersih dalam kampus, malah dapat membantu menjimatkan perbelanjaan kos operasi universiti.
"Projek ini dicetuskan oleh pengurusan tertinggi UTM serta pihak lembaga pengarah yang ingin melihat teknologi dibangunkan oleh penyelidik UTM dapat memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya pelajar, pensyarah dan staf dalam UTM.
"Kita mahu melihat ada juga teknologi dibangunkan UTM diguna pakai sendiri warga UTM sehinggalah kita memulakan projek akuifer batuan dengan sistem penapis teknologi membran ini.
"Ini akuifer batuan pertama di Malaysia yang kita juga tidak jangka akan menemuinya dalam UTM sendiri. Kita berpendapat ini menjadi titik tolak untuk memperkaya dan memperkasakan teknologi tempatan secara global," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian dan penyerahan Telaga Air Akuifer Batuan di Hutan Rekreasi UTM, Skudai di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad.
Sumber air dari paras 158 meter dalam tanah itu boleh menghasilkan kira satu juta liter sehari dan dijangka boleh memberi manfaat kepada 7,000 pengguna.
Air yang hanya mengalami sistem penapisan paling minimum dengan nilai larutan berasid (pH) 7.8 itu akan disalurkan ke seluruh kawasan UTM khususnya bagi kegunaan pelajar di asrama.
Mengulas perancangan seterusnya, Ahmad Fauzi berkata pihaknya berhasrat mengusahakan proses pembotolan sumber air itu sekali gus dijangka dapat menjana pendapatan universiti.
"Selepas ini, kita usahakan pembotolan pula. Mungkin akan ambil masa setahun kerana kita perlu dapatkan kelulusan banyak agensi," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... -air-akuifer-batuan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|