Johor Bahru: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bekerjasama dengan kerajaan negeri ini dalam menyelesaikan isu penempatan semula 10,301 unit rumah setinggan membabitkan 134 kampung.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jawatankuasa khas dipengerusikan bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor sudah ditubuhkan.
Menurutnya, antara tindakan jangka masa panjang yang diputuskan adalah mengkhaskan sejumlah unit Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi penempatan semula penduduk setinggan ini.
"Untuk PPR, memang kita sasarkan untuk kegunaan kumpulan B40, oleh itu kita mengharapkan ia dapat membantu selesaikan masalah setinggan," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek PPR Cahaya Senibong, Permas Jaya di sini, hari ini.
Turut hadir, Mohd Jafni dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Berdasarkan statistik, Johor Bahru merekodkan jumlah penempatan setinggan tertinggi sebanyak 8,793 unit terdiri 79 kampung, diikuti Batu Pahat dengan 522 unit di 15 kampung, Pontian (503 unit, 13 kampung) dan Kulai (132 unit, tiga kampung).
Sementara itu, Mohd Jafni pula berkata, kerajaan negeri akan memberikan tumpuan kepada penempatan setinggan di tepi sungai atau di kawasan yang kerap dilanda banjir kilat.
"Kita kena faham isu setinggan ini merangkumi beberapa kategori termasuk yang membina rumah dengan sistem jalan, perparitan serta elektrik tetapi di atas tanah persekutuan.
"Penempatan setinggan itu akan melalui proses penapisan ketat dengan keutamaan diberi kepada orang Johor," katanya.
Dalam majlis berkenaan, 400 rumah di PPR Cahaya Senibong, Permas Jaya diserahkan KPKT kepada kerajaan negeri dengan 200 rumah dikhaskan bagi penempatan semula setinggan.
|