|
ZAINUN melihat bahagian dapurnya yang rosak selepas dihempap pokok bacang dalam kejadian malam kelmarin. FOTO Siti Rohana Idris
Kota Bharu: Ribut kuat yang melanda Kampung Pulau Belanga, Sering, malam Jumaat menyebabkan sebatang pokok bacang tumbang menghempap sebuah rumah penduduk.
Pokok yang berusia lebih separuh abad itu tumbang pada 7.45 malam dan menyebabkan sebahagian rumah yang dihuni Zainun Mamat, 72, sekeluarga musnah.
Zainun berkata, dia baru selesai menunaikan solat Maghrib dan sedang bersiap-siap untuk ke surau berhampiran bagi mendengar kuliah.
"Ketika itu memang hujan lebat dan tiba-tiba saya terdengar deruan angin diikuti bunyi sangat kuat dari dan terasa rumah bergegar.
"Rupanya sebatang pokok sudah tumbang menghempap ruang dapur dan bilik air dan dalam keadaan panik itu, saya hanya mampu sempat melaungkan azan sebelum mula mendapatkan ahli keluarga lain.
"Musnah habis bahagian rumah yang ditimpa pokok bacang itu, manakala beberapa petak siling di ruang tamu juga tercabut akibat gegaran hentaman itu berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Zainun berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata namun bersyukur kerana suami, lima anak dan menantu serta enam cucunya selamat walaupun masih trauma sehingga ke hari ini.
Suaminya, Abdul Rahim Kundor, 74, berkata, kepalanya nyaris dihempap kepingan siling yang pecah akibat gegaran itu kerana ketika kejadian, dia sedang berehat di ruang tamu.
"Beberapa keping siling tercabut dan ada yang hampir mengenai saya namun Alhamdulillah dapat dielak.
"Paling bersyukur adalah tiga cucu lelaki saya termasuk pasangan kembar berusia lima tahun yang sebelum kejadian, memasuki dapur mencari makanan kerana berasa lapar.
"Nasib baik anak saya yang juga ibu mereka segera memanggil ketiga-tiga anaknya masuk ke ruang tamu kerana bimbang berlaku apa-apa disebabkan hujan sangat lebat serta ribut kuat ketika itu.
"Lima minit selepas cucu keluar dari dapur, pokok bacang terus tumbang...syukur semua selamat tapi isteri dan cucu masih demam sehingga hari ini kerana terkejut," katanya.
Abdul Rahim berkata, anggaran kerugian yang ditanggung adalah sekitar RM15,000 dan kerja membersihkan persekitaran rumahnya masih dijalankan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -hampir-kena-kepala |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|