|
ROHANA meneruskan jualan meskipun kawasan dalam kedai sudah dinaiki air sehingga 0.2 meter. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rantau Panjang: Walaupun kawasan dalam kedai sudah dinaiki air sehingga 0.2 meter, namun ia tidak menjejaskan perniagaan roti canai yang diusahakan seorang peniaga di sini, sebaliknya jualannya semakin laris.
Jika sebelum ini, roti canai yang diusahakan peniaga yang mahu dikenali sebagai Rohana, 40, hanya terjual sekitar 50 biji sahaja, namun sejak banjir jualannya berganda sehingga mencecah 150 biji hanya untuk beberapa jam sahaja.
Situasi itu agak mengejutkan Rohana kerana pada mulanya dia menyangkakan hasil jualan merosot, namun sebaliknya berlaku apabila ramai juga pelanggan suka menikmati hidangan roti canai dalam keadaan kaki berendam dalam air.
Rohana berkata, air mula memasuki dalam premisnya sejak kelmarin dan paling tinggi air mencecah sehingga paras lutut 0.3 meter.
"Jika hujan reda seketika air turun sekejap dan akan naik semula sebaik sahaja hujan lebat. Namun apa yang mengejutkan ramai pula pelanggan yang datang ketika banjir.
"Suasana macam pesta penduduk kampung suka keluar untuk melihat air dan akan singgah makan roti canai atau nasi berlauk di kedai saya," katanya ketika ditemui di Cabang Tiga Kampung Bagus di sini.
Beliau berkata, jika tahun lalu dia tidak sempat merasai berniaga ketika banjir memandangkan banjir mengejut secara tiba-tiba berbeza dengan suasana tahun ini.
"Jadi gembira pula berniaga ketika banjir memandangkan hasil jualan berganda walaupun kaki kesejukan berendam dalam air," katanya.
Sementara itu, pengunjung yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 65, berkata, suasana makan dengan kaki berendam dalam air adalah detik yang sukar dicari.
"Nampak pelik tapi unik dapat makan roti canai dan teh tarik dengan kaki kesejukan dalam air.
"Pagi tadi saya keluar untuk meninjau banjir dan singgah makan di kedai roti canai," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... uan-musim-tengkujuh |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|