Rakaman CCTV yang memaparkan seorang lelaki masuk ke surau di Taman Sri Pulai 3, Sikamat, di sini, petang Sabtu, sebelum mencuri duit tabung. FOTO Ihsan Polis
Seremban: Curi duit sedekah dalam tabung surau sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta.
Itu tindakan seorang pemuda berusia 24 tahun yang akhirnya berjaya diberkas polis susulan wajahnya berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di surau Taman Sri Pulai 3, Sikamat, di sini, Sabtu lalu.
Rakaman CCTV berkenaan kemudiannya membantu pihak polis mengesan suspek yang akhirnya berjaya ditahan di Port Dickson, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 66 tahun pada jam 7.50 petang Sabtu lalu berhubung kecurian itu. Hasil siasatan melalui CCTV mendapati seorang lelaki masuk ke surau dan mencuri duit tabung dianggarkan berjumlah RM100, kira-kira jam 3 petang Sabtu lalu . "Bertindak atas risikan dan maklumat awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban berjaya menahan suspek di kawasan Taman Bayu, Batu 8, Jalan Pantai Teluk Kemang, di Port Dickson, kira-kira jam 8.30 malam tadi," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas kereta model Perodua Myvi berwarna biru dan peralatan untuk memecah tabung surau.
Tambahnya, suspek direman sehingga 2 Disember depan bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
Disiarkan pada: November 29, 2023 @ 1:51pm
|