View: 1524|Reply: 0
|
[Johor]
Tahun Melawat Johor 2026, sasar 12 juta pelancong
[Copy link]
|
|
FESTIVAL Majestic Johor akan diteruskan kerana berjaya menarik ramai pelancong ke negeri ini.
ISKANDAR PUTERI: Tahun 2026 diumumkan sebagai Tahun Melawat Johor dengan menyasarkan kedatangan seramai 12 juta pelancong ke negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, matlamat itu akan dijayakan dengan pelaksanaan beberapa inisiatif termasuk penambahbaikan infrastruktur pelancongan, penganjuran acara bertaraf antarabangsa, pemasaran dan promosi Majestic Johor serta pengenalan destinasi pelancongan mampan.
“Johor bertuah kerana memiliki alam semula jadi yang indah dan menarik serta bangunan warisan bersejarah yang mampu menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia. Sehubungan itu, dengan sukacita saya mengumumkan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor. Pelbagai usaha akan dibuat dalam menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
“Sebagai makluman, Johor telah menerima seramai 7.6 juta pelancong pada tahun 2019, iaitu sebelum pandemik Covid-19 melanda, manakala pada tahun ini, bilangan kemasukan pelancong diunjurkan mampu mencapai lapan juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2024 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan Pusat, khususnya kementerian berkenaan dalam menjayakan beberapa projek yang telah dirancang bagi tujuan berkenaan.
“Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan lain telah memperuntukkan RM67.6 juta bagi melaksanakan beberapa projek.
“Antara projek itu termasuk menaik taraf jeti utama dan Jambatan Sungai Ular di Taman Negara Johor, Pulau Kukup dengan kos RM20 juta, menaik taraf kemudahan infrastruktur penginapan dan kompleks pelawat di Taman Negara Johor, Endau-Rompin Peta dengan kos RM2 juta serta membina ruang masuk dan menaik taraf laman ketibaan di Taman Negara Johor, Tanjung Piai dengan kos RM1.2 juta,” katanya.
Onn Hafiz turut memberitahu, penganjuran acara Festival Majestic Johor akan diteruskan dan ditambah baik selepas berjaya menarik kehadiran pelancong domestik dan asing ke negeri ini sepanjang tempoh penganjurannya.
“Festival Majestic Johor telah menerima anugerah ‘Gold Award Attractive State Tourism Event’. Oleh itu, RM1.7 juta diperuntukkan bagi meneruskan inisiatif ini.
“Selain itu, kita juga akan memperkasakan peranan Jawatankuasa Kumpulan Penyelarasan Destinasi Pelancongan Mampan sebagai program rintis yang akan dilaksanakan di daerah Mersing selari dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari,” tambahnya. – UTUSAN
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|