Batu Pahat: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ketika memancing di sebuah jambatan terapung di Sungai Lurus, Senggarang di sini, semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Azmi Ngatman berkata pihaknya, menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.47 petang semalam.
Beliau berkata, sebaik menerima panggilan itu, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan tujuh anggota bomba dari BBP Rengit dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, didapati seorang kanak-kanak lelaki terjatuh ke laut, ketika memancing di kawasan jambatan terapung di kawasan itu.
"Mangsa kemudiannya ditemukan terdampar di tepi pantai oleh orang awam pada 9.15 malam tadi, iaitu pada jarak sekitar 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, mangsa warga tempatan keluar memancing bersama bapanya sebelum terjatuh dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan sekitar jam 11 malam tadi.
|