CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3451|Reply: 0

[Johor] 'Saya tak sampai hati, saya pun pernah hidup susah'

[Copy link]
Post time 2-11-2023 10:40 AM | Show all posts |Read mode

WANITA menunggang motosikal dalam hujan bersama anak perempuannya. FOTO tangkap layar TikTok

Seri Iskandar: "Saya pernah merasa hidup susah waktu kecil dan berada dalam situasi hampir sama jadi faham perasaan kakak itu," kata Fitri Nabilah Ramli.

Fitri Nabilah, 25, memberi reaksi itu ketika menceritakan pengalamannya bertemu dengan wanita menunggang motosikal membawa anak dalam hujan lebat baru-baru ini.

Kisah itu mendapat perhatian selepas kakaknya, Fatin Fadhilah Ramli, 27, yang turut ada ketika kejadian merakam dan memuat naik video di TikTok.

Menerusi video itu, kelihatan Fitri Nabilah menumpangkan anak perempuan wanita ditemuinya kerana kasihankan kanak-kanak itu yang basah lencun selepas 'mandi' hujan.

Berkongsi kisah, Fitri Nabilah berkata, dia bertemu dengan wanita itu pada Ahad lalu.

Ketika itu, Fitri Nabilah bersama ibu, Marodziah Ariffin, 55, dan kakaknya, Fatin Fadhilah dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gajah, Perak selepas berbelanja di sini.

"Saya yang pandu kereta dan ikutkan, dua kali terserempak dengan kakak itu. Pertama ketika hujan renyai dan kali kedua waktu hujan lebat iaitu semasa nak buat pusingan U.

"Melihat keadaannya, saya tak sampai hati kemudian turunkan cermin kereta dan nampak air matanya bergenang macam nak menangis tunggang motosikal.

"Anak perempuannya duduk di dalam bakul motosikal dan seingat saya kakak itu bawa beg serta lampin pakai buang.

"Kereta banyak waktu itu dan kakak itu kata dia takut tunggang motosikal dalam hujan jadi saya pun minta izin tumpangkan anaknya dalam kereta," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Fitri Nabilah berkata, pada awalnya, wanita itu agak keberatan menyerahkan anaknya mungkin kerana takut dan tidak mengenalinya.

"Tapi saya yakinkan dia dan beritahu tiada apa yang buruk akan berlaku memandangkan emak duduk di sebelah.

"Jadi, kakak itu pun serahkan anaknya. Anaknya seolah faham keadaan ibunya kerana tak menangis.

"Emak kemudian beri dia makan roti sementara saya pandu kereta dan ikut motosikal kakak itu dari belakang sehingga sampai di rumahnya dekat RPA Seri Iskandar," katanya

Setibanya di rumah wanita itu, Fitri Nabilah serahkan semula anaknya yang masih dalam kesejukan kerana terkena hujan.

"Saya ada bertanya sedikit mengenai latar belakangnya dan difahamkan, kakak itu bekerja sebagai pelayan di sebuah kafe serta ada suami.

"Cuma, kami tak dapat sembang lama kerana saya pun nak pulang ke rumah memandangkan hari sudah lewat petang.

"Sebelum undur diri, kakak itu sempat ucapkan terima kasih dan saya kemudian teruskan perjalanan ke rumah.

"Itu bukan kali pertama saya berdepan situasi begitu cuma keinginan nak bantu kuat pada hari berkenaan kerana hari hujan lebat dan sebak sangat tengok dua beranak basah lencun," katanya.

Sementara itu, Fatin Fadhilah berkata, ramai turut bersimpati malah ada yang bertanya bagaimana untuk membantu selepas dia muat naik video di TikTok.

"Rata-rata komen positif malah ada yang kata kenal dan pernah terserempak dengan kakak itu.

"Apa pun, niat saya muat naik video itu bukan nak menunjuk atau aibkan sesiapa tetapi sekadar berkongsi situasi yang menyentuh hati.

"Diharap, ia dapat membuka mata kita semua kerana emak pun selalu pesan kami adik beradik untuk bantu orang susah ikut kemampuan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -pernah-hidup-susah

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 02:26 AM GMT+8 , Processed in 0.042408 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list